NILAI – Pengusaha bas dan lori di Negeri Sembilan membangkitkan pelbagai cabaran yang dihadapi industri pengangkutan ketika mengadakan sesi dialog bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di sini.
Sesi dialog itu turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Nilai, Datuk Alan Lai Chien Kong, selain wakil daripada persatuan berkaitan pengangkutan.
Menurut Ka Siong, wakil pengusaha bas sekolah, bas kilang dan bas pelancongan berkongsi kesukaran yang mereka hadapi dalam meneruskan operasi serta mencari sumber pendapatan.
Menurutnya, antara isu utama dibangkitkan peningkatan kos operasi apabila pengendali tidak dapat menikmati manfaat subsidi diesel, sekali gus menyebabkan kos operasi mereka terus melambung tinggi.
“Pengendali tidak dapat mendapat manfaat daripada subsidi diesel, menyebabkan kos operasi melambung tinggi,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Selain itu, kata beliau, industri pengangkutan turut berdepan kekurangan tenaga kerja dan pemandu yang berkelayakan, sekali gus menjejaskan operasi harian syarikat pengangkutan.
Tambah beliau, pengusaha turut meluahkan kebimbangan terhadap kemasukan pengendali bas pelancongan asing yang disifatkan mewujudkan persaingan tidak adil dan mengecilkan peluang kepada pengusaha tempatan.
Kata beliau, mereka juga mendakwa terdapat segelintir pihak penguat kuasa yang memberikan layanan tidak adil terhadap pengendali tempatan.
Ka Siong berkata, beliau akan membawa segala kebimbangan yang dibangkitkan ke Parlimen dan kementerian berkaitan untuk tindakan susulan.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan membawa kebimbangan industri ini ke Parlimen dan kementerian berkaitan untuk tindakan susulan,” katanya.
Beliau berkata, para pengusaha turut berharap Alan Lai dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai supaya dapat menjadi suara yang lantang memperjuangkan nasib pengendali pengangkutan tempatan serta menyokong dasar yang lebih adil dan memberi sokongan lebih besar kepada industri berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Wee Ka Siong


