SEREMBAN – Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sembilan pada tahun 2025 hanyalah 2.6 peratus iaitu di bawah purata kebangsaan.
Bekas Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keadaan itu berbeza dengan Johor yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus dan muncul negeri dengan prestasi ekonomi terbaik di Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan BN.
“Tahun lepas, tahun 2025, ini angka daripada DOSM. Dia pecahkan semua negeri mengikut pertumbuhan ekonomi. Yang paling tinggi dari segi pertumbuhan ekonomi di Malaysia, yang paling cepat berkembang di Malaysia tahun lalu, dan paling berkemungkinan tahun ini adalah Johor di bawah kerajaan BN.
“Pertumbuhan tahun lepas, GDP growth Negeri Sembilan pada tahun lalu adalah 2.6 peratus, manakala Johor 8 peratus. Negeri Sembilan berada di bawah purata kebangsaan. Maksudnya, angka mereka sendiri pada tahun lepas menunjukkan bahawa Negeri Sembilan memerlukan satu anjakan baharu,” katanya.
Khairy Jamaluddin berkata, pencapaian negeri Johor membuktikan bahawa kerajaan yang cekap, kukuh dan stabil mampu memacu pertumbuhan ekonomi serta menarik lebih banyak pembangunan ke negeri berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan memberi peluang kepada BN mentadbir negeri itu agar ia mampu mencontohi kejayaan Johor dan muncul sebagai antara negeri yang paling pesat membangun di Malaysia.
“Apa yang kita mahu adalah peluang untuk BN mentadbir Negeri Sembilan supaya Negeri Sembilan macam Johor akan jadi antara negeri yang paling besar membangun di Malaysia,” katanya. – MYNEWSHUB


