KUALA LUMPUR – Prof Madya Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Shahrul Mizan Ismail membalas kenyataan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew yang mendakwa hanya Orang Asli berasal dari tanah ini, manakala kaum lain berasal dari luar.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai penyederhanaan melampau terhadap sejarah manusia, pembentukan bangsa dan perkembangan tamadun di Alam Melayu yang tidak berasaskan penelitian sejarah yang cermat.
Menurutnya, persoalan asal-usul sesuatu masyarakat perlu dilihat dalam konteks wilayah, tempoh masa dan maksud sebenar “asal” kerana perpindahan serta percampuran masyarakat merupakan proses biasa dalam sejarah manusia.
Dr Shahrul Mizan berkata, sejarah Melayu, institusi pemerintahan, bahasa, adat dan tamadun Melayu telah berakar di rantau ini sejak berabad-abad lalu dan tidak boleh dinafikan hanya melalui naratif asal-usul yang sempit.
Berikut kenyataan penuh beliau seperti yang di muat naik di akaun media sosial Shahrul Mizan Ismail:
Dakwaan Ronnie Liu bahawa “hanya Orang Asli berasal dari tanah ini”, manakala semua kaum lain, termasuk Melayu, berasal dari luar bukan rumusan sejarah yang cermat dan berilmu. Sebaliknya ia adalah satu bentuk penyederhanaan melampau terhadap sejarah manusia, pembentukan bangsa dan perkembangan tamadun di Alam Melayu.
Pertama, apakah maksud “berasal dari luar”? Luar Semenanjung? Luar Malaysia yang hanya dibentuk pada tahun 1963? Luar Alam Melayu? Atau luar Asia Tenggara?
Sesuatu kenyataan mengenai asal-usul tidak mempunyai nilai ilmiah jika wilayah rujukan, tempoh masa dan maksud “asal” tidak ditetapkan. Jika sejarah manusia diundur cukup jauh, hampir semua masyarakat pernah berpindah, bercampur dan menyerap unsur masyarakat lain. Perpindahan purba tidak dengan sendirinya menjadikan sesuatu bangsa “pendatang” dalam pengertian politik semasa.
Penyelidikan genom terhadap masyarakat Melayu sendiri menemukan percampuran beberapa unsur keturunan, antaranya Austronesia dan Melayu Proto. Namun, dapatan itu tidak merumuskan bahawa orang Melayu ialah orang asing di Semenanjung. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa pembentukan sesuatu bangsa merupakan proses sejarah yang panjang, bukannya ujian “ketulenan darah”.
Kedua, Ronnie mencipta pemisahan yang mengelirukan antara “Orang Asli” dengan “Melayu”. Orang Asli bukan satu kelompok yang seragam. JAKOA membahagikan masyarakat Orang Asli kepada Negrito, Senoi dan Melayu Proto yang merangkumi 18 suku. JAKOA sendiri menerangkan bahawa sebahagian masyarakat Melayu Proto mempunyai persamaan tertentu dengan orang Melayu.
Hal ini tidak bererti bahawa semua orang Melayu ialah Orang Asli menurut undang-undang. Maksudnya, sejarah penduduk Semenanjung jauh lebih rumit daripada gambaran Ronnie bahawa pada suatu ketika terdapat “Orang Asli”, kemudian semua orang Melayu datang sebagai orang luar.
Ketiga, sejarah Melayu tidak bermula pada tahun 1957. Kesultanan Melayu, bahasa Melayu, undang-undang adat, institusi pemerintahan dan rangkaian perdagangan Melayu telah berakar di rantau ini berabad-abad sebelum terbentuknya sempadan Malaysia dan Indonesia. UNESCO sendiri mengiktiraf sejarah Melaka yang berpunca daripada Kesultanan Melayu abad ke-15.
Perpindahan orang Minangkabau, Bugis, Jawa, Aceh atau kelompok serumpun lain dalam lingkungan Alam Melayu tidak boleh disamakan secara mudah dengan penghijrahan antara negara moden. Sempadan negara yang ada sekarang muncul jauh kemudian.
Keempat, kedudukan orang Melayu dalam Perlembagaan tidak bergantung pada teori darah atau siapa yang tiba dahulu. Perkara 160(2) mentakrifkan “Melayu” berdasarkan agama Islam, penggunaan bahasa Melayu, adat Melayu serta syarat kelahiran, domisil dan keturunan. Perlembagaan tidak mengenakan ujian DNA.
Perkara 153 pula memerintahkan supaya kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak dipelihara, di samping kepentingan sah kaum-kaum lain. Perlindungan terhadap Orang Asli pula wujud secara berasingan, antaranya melalui Perkara 8(5)(c) dan Akta Orang Asli 1954. Semua kedudukan ini boleh wujud serentak. Mengiktiraf hak Orang Asli tidak memerlukan sejarah Melayu dipadamkan.
Oleh itu, Ronnie tidak boleh menghapuskan kedudukan sejarah atau perlembagaan orang Melayu hanya dengan melontarkan cerita asal-usul yang tidak cermat. Jika maksudnya sekadar mengatakan semua warganegara mempunyai tanah air yang sama, katakan sahaja demikian. Tidak perlu merendahkan akar sejarah satu bangsa untuk mengangkat kewarganegaraan bangsa lain.
Etnosentrisme tidak dapat dilawan dengan etnosentrisme balas. Politik yang sihat tidak dibina atas pertandingan “darah siapa paling tulen”, tetapi juga tidak dibina dengan menafikan sejarah, tamadun dan kedudukan perlembagaan sesuatu masyarakat.
Ronnie Liu patut menarik balik kenyataan tersebut, membetulkan fakta dan berhenti menggunakan sejarah asal-usul sebagai bahan provokasi kaum. Enough is enough!
Prof Madya Dr Shahrul Mizan Ismail
Fakulti Undang-Undang
Universiti Kebangsaan Malaysia



