SEREMBAN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bukan UMNO dan PAS yang mencetuskan isu perkauman.
Beliau sebaliknya menegaskan terdapat parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang berbuat demikian sejak puluhan tahun lalu untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN)
Kata beliau, UMNO dan PAS malah telah membuktikan di negeri dipimpin kedua-dua parti itu dapat menjaga dan mengurus pelbagai aspek kehidupan semua kaum dengan baik.
Menurut beliau, ia termasuk dalam soal pembangunan, kesejahteraan, pendidikan, malah dalam soal warisan budaya serta agama.
“Mereka (sebenarnya) cuba mengalihkan isu kelemahan mereka untuk tanam rasa benci dalam kalangan kaum. Mencetuskan isu perkauman budaya mereka sejak puluhan tahun dulu untuk mengalahkan UMNO dan BN.
“Insya-Allah BN dan PN akan buktikan mandat yang diberikan oleh rakyat pada 1 ogos nanti,” katanya pada satu sidang media.
Dalam pada itu, Jalaluddin memaklumkan kerjasama jentera BN dan PN dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kini bertambah baik berbanding di peringkat awal.
“Saya dapat lihat muslimah daripada PAS bergerak dengan anggota Wanita UMNO sebagai satu pasukan. Yang membezakan mereka adalah pakaian sahaja.
“Misi dan matlamat yang mereka bawa satu iaitu untuk memberi keyakinan kepada rakyat supaya memberi mandat besar kepada BN dan PN pada 1 ogos. Insya-Allah,” katanya.


