SEREMBAN – Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun mengkritik kerajaan membazirkan wang rakyat melalui pelbagai projek dan aplikasi digital, selain mempersoalkan isu penipuan dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM163 juta.
Menurut beliau, kerajaan sebelum ini membelanjakan ratusan juta ringgit bagi membina lebih 7,200 unit MyKiosk di seluruh negara, namun mempersoalkan berapa banyak daripadanya benar-benar digunakan berbanding yang terbiar dan tidak dimanfaatkan.
Beliau turut menyentuh isu penipuan dana KWAP sebanyak RM163 juta dengan memberikan gambaran bahawa jumlah tersebut bersamaan lebih 10 juta pinggan nasi goreng kambing berharga RM15 setiap satu yang boleh diberikan kepada rakyat.
“KWAP ditipu RM163 juta. Nasi goreng kambing di sini RM15 satu pinggan. RM163 juta boleh beli lebih 10 juta nasi goreng kambing. Ini semua duit siapa? Ini duit rakyat,” katanya ketika berucap dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Siew Mun turut mengkritik kewujudan pelbagai aplikasi kerajaan yang menurutnya menelan belanja besar tetapi gagal berfungsi dengan baik.
Beliau menyenaraikan beberapa aplikasi seperti MyJPJ, MyBorderPass, MyNIISe dan MySikap, sambil mendakwa kerajaan sebelum ini menggunakan MyBorderPass sebelum memperkenalkan aplikasi baharu yang didakwanya menelan kos RM1 bilion.
Namun, katanya, aplikasi tersebut didakwa mengalami masalah teknikal dan gagal diakses hanya beberapa bulan selepas digunakan.
“RM1 bilion berapa nasi goreng kambing boleh beli? Berapa papan telur boleh beli? (Berapa ekor ayam segar boleh kita beli untuk keluarga?,” soalnya.
Beliau menegaskan rakyat tidak lagi mahu mendengar nama pelbagai aplikasi kerajaan, sebaliknya mahu mengetahui bagaimana wang mereka dibelanjakan.
“Apa yang kita ambil berat, kita prihatin, kita bimbang adalah bagaimana kamu belanjakan ‘MyDuit’ kerana semua duit kerajaan yang dibelanjakan adalah cukai.
“Cukai pendapatan, SST, cukai karbon dan pelbagai lagi cukai yang dibayar oleh rakyat,” katanya. – MYNEWSHUB


