PAROI – “Saya nak kasih kepada rakyat dan saya nak rakyat kasih kepada saya”
Demikian pengakuan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cita-citanya selaku Perdana Menteri ketika berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di sini malam tadi.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau mahu orang Melayu melihatnya sebagai pimpinan Melayu yang betul-betul kasih kepada orang Melayu.
“Saya nak orang Cina kata ada orang Melayu yang tak curi duit. Ada rupanya orang Melayu yang tak hina kita dan anggap kita sebagai sahabat dan keluarga mereka.
“Orang India kata wah ini betul-betul kita punya Ane, kita punya ‘Sivaji The Boss’ sebab dia adil kepada kita. Dia dengar kita dan dia tolong kita dengan ikhlas. Itu cita-cita saya,” katanya di pentas ceramah jelajah ‘Kekal Harapan’ Negeri Sembilan di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar mengakui ramai penyokong PH terkejut dan seolah tertekan dengan kewujudan pakatan baharu yang dikatakan peluang untuk Melayu bersatu.
“Kita terkejut ada orang Melayu kata inilah peluang kita Melayu bersatu. Jadi kita rasa macam tertekan.
“Tapi tak apa. Kita tawakal kepada Allah. Saya datang untuk merayu. Rekod yang dibuat di Negeri Sembilan bukan omong kosong.
“Bukan rekod bicara. Rekod memperkotakan. Melaksanakan apa yang dikata kerana kami takut sekiranya dihukum kerana menyatakan apa yang tidak dilaksanakan,” katanya. – MYNEWSHUB


