KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa Menteri dan Timbalan Menteri Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan Kabinet selepas BN secara terbuka mengadakan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menerusi satu kenyataan media, AMH mendakwa kerjasama itu bukti jelas BN tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mereka dalam Kerajaan Perpaduan.
“AMH menempelak kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan secara terbuka bahawa sokongan pengundi kepada calon BN dan PN di peringkat negeri merupakan medan uji formula dan berpotensi diterjemahkan kepada skala nasional menjelang PRU16.
“Pengakuan Pengerusi BN menunjukkan bahawa kerjasama BN-PN tersebut bukan lagi bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya merupakan persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu yang menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen BN dalam Kerajaan Perpaduan,” dakwa kenyataan itu hari ini.
Untuk rekod, BN tidak pernah mengumumkan menjalin kerjasama politik dengan PH, sebaliknya menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas tiada parti politik memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.
AMH seterusnya berkata, BN tidak lagi menghargai semangat kerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan walaupun memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beberapa jawatan menteri dan jawatan-jawatan penting lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Kata AMH, tindakan BN berulang kali menguji kesabaran rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen sebenar BN.
Sehubungan itu, AMH menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada BN meletakkan jawatan segera supaya
tidak menjejaskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Peletakan jawatan para Menteri dan Timbalan Menteri BN dapat mengurangkan risiko sebarang percubaan menebuk atap yang boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
“Memberikan ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Naib Ketua Pemuda Amanah, Ammar Atan; Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang; Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Danish Hairudin dan Pengarah Biro Komunikasi WARDA, Syazana Nasir. – MYNEWSHUB


