SEREMBAN – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan asas kewujudan parti itu adalah untuk menentang kleptokrasi 1MDB.
Menurut beliau, Bersatu yang bermula sebagai parti pembangkang berjuang menentang kleptokrasi yang terkait dengan skandal kewangan terbesar dunia.
“Perjuangan menentang kleptokrasi yang terkait dengan skandal kewangan terbesar dunia iaitu 1MDB membawa kepada penubuhan Bersatu.
“Ini asas kewujudan Bersatu. Asas ini jangan dilupakan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Muhyiddin seterusnya berkata, kedudukan Bersatu hari ini adalah sebagai parti pembangkang seperti di peringkat awal penubuhannya.
Beliau mendakwa keadaan kini lebih mencabar buat Bersatu kerana ia parti pembangkang tunggal dalam Parlimen Malaysia.
Dalam pada itu, beliau mendakwa seruan penyatuan ummah dan penyatuan Melayu oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sandiwara untuk mengaburi mata orang Melayu dan rakyat.
“Bersatu bebas daripada semua sandiwara ini. Bersatu bertekad untuk istiqamah dengan matlamat dan dasar perjuangannya untuk membela rakyat dan memajukan negara.
“Bersatu walaupun berhadapan dengan cabaran dan tentangan yang bukan sedikit, jiwanya mesti besar. Bersatu untuk Malaysia,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Muhyiddin Yassin


