OLEH MYNEWSHUB
NEW YORK – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyampaikan ucapan di Dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini, pada 16 Julai lalu.
Beliau berucap pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung PBB mengenai Kajian Separuh Penggal Agenda Bandar Baharu.
Nga hadir dalam kapasiti sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia serta Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat).
Ucapan beliau memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pelaksanaan Agenda Bandar Baharu, termasuk menangani krisis perumahan, perubahan iklim dan cabaran pembangunan bandar di seluruh dunia.
Beliau turut menggesa negara anggota meningkatkan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara mampan dan inklusif.
Menurutnya, kajian separuh penggal itu perlu dijadikan titik perubahan bagi memperkukuh komitmen antarabangsa dalam mencapai sasaran pembangunan menjelang 2030.
Mesyuarat berkenaan menghimpunkan wakil negara anggota, pemimpin antarabangsa dan pegawai kanan PBB bagi menilai kemajuan pelaksanaan Agenda Bandar Baharu sejak ia diterima pakai pada 2016.
Bagaimanapun, ucapan Nga itu bukan disampaikan dalam Perbahasan Umum tahunan Perhimpunan Agung PBB yang lazimnya dihadiri ketua negara dan ketua kerajaan.
Sebaliknya, beliau berucap dalam mesyuarat khas peringkat tinggi yang khusus membincangkan isu perumahan, perbandaran dan pembangunan petempatan manusia.- MYNEWSHUB


