Oleh Mynewshub
PARIS – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menerima aduan rasmi yang mendakwa Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berulang kali melanggar peraturan berkaitan neutraliti politik menerusi sokongannya terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Aduan itu dikemukakan FairSquare, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan kumpulan advokasi yang mahu IOC menyiasat beberapa tindakan Infantino termasuk kemungkinan campur tangannya dalam isu penggantungan penyerang AS, Folarin Balogun.
Balogun pada asalnya dikenakan penggantungan satu perlawanan selepas menerima kad merah ketika AS menentang Bosnia dan Herzegovina dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 pada 1 Julai lalu.
Bagaimanapun, pelaksanaan penggantungan automatik itu kemudiannya ditangguhkan untuk tempoh percubaan selama setahun berdasarkan Artikel 27 Kod Tatatertib FIFA.
Keputusan berkenaan membolehkan Balogun diturunkan dalam perlawanan pusingan 16 terbaik menentang Belgium pada 6 Julai, yang menyaksikan AS tersingkir selepas tewas 1-4.
Kontroversi tercetus selepas Trump mengakui beliau menghubungi Infantino dan meminta supaya insiden kad merah tersebut dinilai semula kerana berpendapat tindakan Balogun bukan satu kesalahan yang wajar dikenakan hukuman berkenaan.
Infantino mengesahkan menerima panggilan daripada Trump, namun menafikan beliau mencampuri proses membuat keputusan.
Menurut Infantino, jawatankuasa kehakiman FIFA beroperasi secara bebas dan autonomi, manakala kebebasan badan itu perlu dihormati bagi menjamin kredibiliti serta integriti bola sepak.
FairSquare bagaimanapun mempersoalkan sama ada keputusan berhubung Balogun dibuat secara bebas atau dipengaruhi tekanan politik daripada Trump.
Pertubuhan itu mendakwa terdapat bukti kukuh menunjukkan Infantino melakukan sekurang-kurangnya lima pelanggaran jelas terhadap peraturan neutraliti politik IOC menerusi kenyataan atau tindakan yang memperlihatkan sokongannya terhadap Presiden AS itu.
Selain kes Balogun, FairSquare turut membangkitkan tindakan Infantino mempromosikan sebuah laman peminat FIFA bagi Piala Dunia 2026 yang didakwa mempunyai kaitan dengan kempen pengumpulan data oleh entiti yang mempunyai hubungan dengan Trump.
Aduan itu juga merujuk hantaran sokongan Infantino di Instagram selepas menghadiri sebuah acara berkaitan pelantikan Trump sebagai Presiden AS pada Januari 2025.
Infantino turut didakwa secara terbuka menyokong pencalonan Trump bagi Hadiah Nobel Keamanan pada Oktober 2025 sebelum mengeluarkan beberapa kenyataan lain yang dilihat memihak kepada pemimpin tersebut.
Pada Disember tahun sama, Infantino menyampaikan Anugerah Keamanan FIFA yang julung kali diperkenalkan kepada Trump ketika acara undian Piala Dunia di Kennedy Center.
FairSquare menegaskan Infantino, yang menjadi ahli IOC sejak 2020, tertakluk kepada prinsip neutraliti politik dalam Piagam Olimpik serta Kod Etika IOC.
Menurut pertubuhan itu, IOC mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan termasuk menyingkirkan mana-mana ahli yang gagal memenuhi tanggungjawab dan kewajipan etika tersebut.
FairSquare sebelum ini turut mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Etika FIFA pada Disember lalu.
Aduan berkenaan kemudian mendapat sokongan Persekutuan Bolasepak Norway, selain 50 anggota Parlimen Eropah menerusi surat berasingan pada 29 Jun.
Setakat ini, IOC dan FIFA dilaporkan belum memberikan maklum balas terhadap permintaan media berhubung aduan berkenaan.-MYNEWSHUB


