KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai Pengerusi FELDA yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Semalam FELDA mengumumkan tempoh perkhidmatan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi FELDA telah berakhir pada 30 Jun lalu.
FELDA dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan Ahmad Badri mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kewibawaan, integriti serta pengalaman luas beliau dalam menerajui organisasi strategik.
FELDA berkata, kepimpinan beliau diyakini mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan serta meneruskan agenda transformasi FELDA selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
Ahmad Badri mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor awam dan korporat sejak menyertai Kementerian Kewangan pada 1989. Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia dari 2018 hingga 2020.
Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Ahli Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ketika ini, beliau merupakan Pengerusi RHB Bank Berhad dan Lembaga Getah Malaysia (LGM), selain Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.
Dari segi akademik, Ahmad Badri memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hull, United Kingdom serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).
FELDA yakin di bawah kepimpinan baharu itu, organisasi berkenaan akan terus memperkukuh agenda transformasi Kumpulan FELDA, meningkatkan keupayaan ekonomi serta mencipta nilai yang lebih besar kepada lebih tiga juta warga peneroka, di sampin8g memastikan kesejahteraan generasi masa depan terus terpelihara. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial FELDA – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan


