Oleh Mynewshub
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa Iran bakal berdepan serangan ketenteraan besar-besaran sekiranya kerajaan republik Islam itu cuba membunuh atau melakukan percubaan membunuhnya.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump mendakwa sebanyak 1,000 peluru berpandu kini berada dalam keadaan siap siaga dan disasarkan ke Iran, manakala ribuan lagi boleh dilancarkan selepas itu.
Menurut Trump, arahan sudah diberikan kepada tentera AS untuk bertindak sekiranya ancaman pembunuhan terhadap Presiden AS benar-benar dilaksanakan oleh Tehran.
“Seribu peluru berpandu sudah dikunci, dimuatkan dan disasarkan ke Republik Islam Iran,” katanya dalam hantaran tersebut.
Trump turut mendakwa tentera AS bersedia menjalankan operasi ketenteraan selama setahun dan tempoh itu boleh dilanjutkan sekiranya diperlukan.
Beliau kemudian mengancam untuk memusnahkan kawasan-kawasan di Iran sebelum mengakhiri kenyataannya dengan ungkapan, “Praise Be To Allah” atau “Segala Puji Bagi Allah”.
Amaran itu dikeluarkan selepas laporan mendakwa Israel telah berkongsi maklumat risikan baharu dengan Washington mengenai kemungkinan Iran sedang mempertimbangkan rancangan untuk membunuh Trump.
Iran sebelum ini berulang kali menyuarakan hasrat membalas dendam terhadap Trump susulan pembunuhan komander kanan Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran, Jeneral Qassem Soleimani, dalam serangan dron AS di Iraq pada Januari 2020.
Ketegangan turut meningkat selepas beberapa peserta upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan membawa sepanduk dan melaungkan seruan supaya Trump serta Perdana Menteri Israel dibunuh.
Bagaimanapun, dakwaan bahawa tepat 1,000 peluru berpandu AS sudah disasarkan ke Iran belum disahkan secara bebas.
Laporan Reuters dan Associated Press hanya mengesahkan bahawa kenyataan berkenaan diterbitkan melalui akaun Truth Social Trump, tanpa memberikan pengesahan ketenteraan mengenai jumlah senjata tersebut. –MYNEWSHUB


