JOHOR BAHRU – Beberapa pemimpin PAS mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) susulan kemenangan besar gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Dewan Negara, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, keputusan yang dibuat rakyat Johor membuktikan BN lebih diterima berbanding Pakatan Harapan (PH).
“Tahniah BN. PAS telah memberi isyarat jelas bahawa BN adalah lebih baik dari PH. Tahniah bangsa Johor,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan keputusan PRN Johor sebagai penolakan terhadap kempen yang dibawa DAP sepanjang tempoh pilihan raya.
Menurut beliau, usaha DAP yang sering mengaitkan Kelantan dalam kempen mereka gagal mempengaruhi pengundi Johor.
“Kempen fitnah Kelantan oleh DAP di Johor ditolak pengundi! Terima kasih rakyat Johor,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN berjaya memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan negeri Johor bagi penggal baharu. – MYNEWSHUB


