OLEH MYNEWSHUB
KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan kertas siasatan berhubung kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, yang ditemui maut di sebuah asrama di Kok Lanas, Kelantan pada 2013, telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) selepas siasatan menyeluruh gagal menemukan bukti mengaitkan mana-mana individu dengan kematiannya.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata AGC telah meneliti semula kertas siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, termasuk menjalankan siasatan lanjut berdasarkan naratif dan dakwaan yang dikemukakan oleh keluarga mangsa.
Menurut beliau, sepanjang siasatan, polis telah merakam keterangan daripada 84 saksi, manakala 45 sampel DNA dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia.
“Hasil siasatan yang komprehensif mendapati tiada sebarang bukti yang boleh mengaitkan mana-mana individu lain dengan insiden kematian si mati.
“Selepas meneliti keseluruhan keterangan yang diperoleh, tiada petunjuk yang dapat mengaitkan mana-mana individu dengan perlakuan sesuatu kesalahan.
Oleh itu, kertas siasatan ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut,” katanya dalam surat pemberitahuan bertarikh 3 Julai, yang diterima peguam mewakili keluarga mangsa pada Isnin.
Dalam surat sama, AGC turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan yang dialami.
Kes kematian Wan Ahmad Faris sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas pelajar Tingkatan Empat dari Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas itu ditemui tergantung di dalam tandas asrama pada Disember 2013.
Laporan bedah siasat ketika itu mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut tanpa unsur jenayah.
Bagaimanapun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Wan Ahmad Faris berpunca daripada perbuatan seorang atau beberapa individu yang tidak dikenal pasti.
Susulan perkembangan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada Ogos 2025 mengesahkan polis membuka semula siasatan bagi meneliti semula kes berkenaan.
Bagaimanapun, selepas siasatan semula dijalankan, AGC memutuskan tiada bukti mencukupi untuk mengaitkan mana-mana individu dengan kematian pelajar tersebut, sekali gus mengklasifikasikan kes itu sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).-MYNEWSHUB
