
Oleh: Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
SAMPAI bila konflik antara manusia dengan hidupan liar perlu terus menghantui kehidupan masyarakat?
Dan sampai bila konflik ini harus mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada banyak pihak, terutama pemilik ladang dan pengusaha kebun?
Anda sudah pasti bersetuju bahawa ia mesti ditangani segera bukan?
Masakan tidak kerana konflik antara manusia dengan hidupan liar bukan perkara kecil, malah semakin menjadi cabaran yang memerlukan perhatian serius untuk ditangani.
Kesan konflik ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan, malah mengakibatkan kerugian ekonomi dan menjejaskan kelestarian masa depan yang diperjuangkan negara.
Buktinya, dari tahun 2021 hingga Mei lalu, sebanyak 76,361 aduan konflik hidupan liar direkodkan di seluruh negara dengan anggaran kerugian mencecah RM58.7 juta. Ini satu nilai kerugian yang sangat besar.
Statistik kerugian akibat kerosakan dialami penduduk ini juga menunjukkan pengurusan hidupan liar amat penting dipergiatkan kerana ia bukan lagi menjadi isu konservasi semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat.
Bagi menangani cabaran ini, antara usaha diperkenalkan Kerajaan Persekutuan adalah Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) pada tahun 2019, iaitu dana untuk kerajaan negeri mengukuhkan pengurusan kawasan perlindungan serta memperhebat usaha konservasi biodiversiti demi memulihara dan memelihara alam sekitar.
EFT bukan sekadar mekanisme dalam memperkukuh usaha pemuliharaan dan pemeliharaan aset kelestarian negara, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pengurusan kawasan perlindungan lebih sistematik menerusi kewangan.
Keberkesanan Pelaksanaan EFT: Kawasan Perlindungan Daratan Baharu Diwarta
Hasil positif pelaksanaan EFT terbukti apabila sehingga tahun 2025, ia menyumbang kepada pewartaan kira-kira 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan baharu.
Kawasan perlindungan daratan baharu ini merujuk kepada lokasi yang ditetapkan sebagai kawasan perlindungan bagi tujuan memulihara biodiversiti, habitat hidupan liar, hutan dan ekosistem semulajadi, contohnya taman negeri, santuari haiwan dan hutan simpan kekal.
Pewartaan ini bukan sekadar menambah keluasan kawasan perlindungan, malah memperkukuh habitat hidupan liar yang menjadi asas kepada usaha konservasi negara.
Tanpa kawasan yang diwartakan dan diurus dengan baik, usaha menyelamatkan hidupan liar atau melindungi hutan sukar dilaksanakan secara berkesan, sekali gus mengakibatkan kerugian kepada masyarakat dan negara.
Bukan setakat itu, bagi tempoh 2025 hingga kini, sebanyak RM600,000 dana EFT diperuntukkan untuk memperkukuh pengurusan konflik manusia dan gajah melalui pelbagai inisiatif termasuk Program Operasi Bersepadu Translokasi Gajah Negeri Johor.
Sebanyak RM900,000 dana EFT pula disalur bagi melaksanakan program mitigasi konflik manusia dan hidupan liar di bawah Pelan Hala Tuju Strategik Desa Negeri Johor, memandangkan negeri berkenaan berdepan permasalahan terbabit.
Aduan Konflik Gajah Menurun
Pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah EFT ini menunjukkan hasil positif, terutama ia menyaksikan aduan konflik gajah menurun lebih 30 peratus dalam tempoh hanya dua tahun.
Manakala bagi kes konflik yang masih berlaku sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda dan tanaman kerana serangan hidupan liar ini, kerajaan tidak ‘lepas tangan’ apabila menyediakan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) bernilai RM10 juta.
Bantuan diperkenal di bawah Kerajaan Madani dengan diselaraskan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ini, sudah menyalurkan RM2.85 juta kepada penerima layak hingga Mei 2026.
Kesimpulannya, EFT memperlihatkan bahawa ‘pelaburan hijau’ menerusi peruntukan dalam konservasi biodiversiti bukan sekadar untuk melindungi habitat hidupan liar.
Dana EFT ini turut menyokong pengurusan konflik manusia dan hidupan liar melalui pewartaan kawasan perlindungan, pelaksanaan program mitigasi, penglibatan komuniti serta bantuan kepada pihak terjejas.
Skop pelaksanaan EFT itu sendiri tidak tertumpu kepada pewartaan kawasan perlindungan semata-semata, sebaliknya secara meluas dengan meliputi program restorasi, pengurusan dan penguatkuasaan, penyediaan dan penyelenggaraan infrastruktur, pembangunan dasar serta amalan pengurusan hutan secara berkekalan.
Setiap komponen ini saling melengkapi dalam memastikan kawasan perlindungan yang diwartakan dapat diurus lebih berkesan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam




