KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mengarahkan pembatalan sambutan Hari Peneroka FELDA Johor pada 20 dan 21 Jun lalu.
Anwar berkata, beliau cuma mengeluarkan arahan tidak boleh ada acara menggunakan jentera Kerajaan Persekutuan semasa kempen pilihan raya.
“Saya tidak beri arahan (batalkan). Arahannya tidak boleh ada acara guna jentera kerajaan untuk semasa kempen pilihan raya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat.
Perdana Menteri seterusnya berkata, tidak ada halangan untuk seorang Menteri Besar memasuki ke kawasan FELDA dan mengadakan programnya sendiri.
“Kerajaan negeri hendak pergi beri geran tanah itu hal dia walaupun dia tahu tentang peraturan pilihan raya.
“Bukan larangan, tetapi menggunakan jentera FELDA untuk berkempen itu tidak boleh,” katanya. – MYNEWSHUB


