KUALA LUMPUR – Media berbahasa Cina melaporkan ruangan komen di media sosial hari ini dipenuhi ucapan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang pembukaan rasmi LRT3 Shah Alam pada Isnin.
Menurut laporan media tersebut, projek yang mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk disiapkan selepas beberapa kali mengalami kelewatan itu akhirnya akan mula beroperasi pada pukul 6 pagi.
Laporan itu menyatakan ramai netizen meninggalkan komen berbunyi “Terima kasih Najib” sebagai tanda penghargaan terhadap peranan beliau ketika projek tersebut diumumkan dan dimulakan semasa pentadbirannya.
Pelancaran LRT3 di Shah Alam, Selangor hari ini disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan beberapa pemimpin Kerajaan Madani yang lain.
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendakwa pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam oleh Anwar ituu menjadi bukti pendekatan Kerajaan Madani yang sentiasa mengutamakan keperluan rakyat.
Untuk rekod, projek LRT3 diilhamkan pada era pentadbiran Najib yang merupakan antara inisiatif utama memperkukuh sistem pengangkutan awam di Lembah Klang Barat.
Selepas perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14, projek tersebut disemak semula dengan alasan bagi mengurangkan kos menyebabkan kelewatan dan tarikh pembukaan beberapa kali ditunda. – MYNEWSHUB


