KUALA LUMPUR – Isu pembatalan Program Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 perlu ditanya kepada Unit Kawal Selia FELDA, Jabatan Perdana Menteri (JPM)
Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan berkata, FELDA diletakkan di bawah seliaan JPM melalui Unit Kawal Selia FELDA.
“Jalur kuasa yang memuktamadkan segala keputusan akhirnya tetap kembali kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Oleh itu, sebelum menuduh pihak lain mereka-reka cerita, adalah lebih elok jika DAPSY (Pemuda Sosialis DAP) menyemak fakta terlebih dahulu.
“Siapa sebenarnya yang memegang kuasa dan mengawal pintu masuk FELDA,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
DAPSY sebelum ini menolak dakwaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa terdapat ‘tangan ghaib’ menghalang beliau memasuki kawasan FELDA di Johor.
Mike Chong berkata, isu tersebut namun tidak melunturkan semangat Kerajaan Johor dan Menteri Besar yang tetap memastikan 210 peneroka FELDA menerima hak milik mereka. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial MCA


