Oleh Mynewshub
AMPANG – Satu insiden membabitkan urusan pengebumian jenazah di sebuah tanah perkuburan di Ampang mencetuskan kekecohan selepas keluarga mendakwa proses pengkebumian tertangguh lebih sejam susulan isu berkaitan permit pengebumian.
Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan suasana tegang apabila urusan pengebumian didakwa tidak dapat diteruskan serta-merta, dengan kedengaran individu mempertikaikan tindakan menahan permit kematian.
Menurut kronologi yang dikongsikan pihak yang memperkenalkan diri sebagai pasukan Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) Kampung Pandan Dalam, bapa kepada arwah dikatakan telah meminta BKS menguruskan keseluruhan proses jenazah termasuk mengambil jenazah di Hospital Ampang, memandikan serta melaksanakan solat jenazah.
Bagaimanapun, selepas urusan itu selesai, keluarga mendakwa berlaku isu apabila borang kebenaran pengkebumian dan permit kubur didakwa tidak diserahkan serta-merta.
Menurut dakwaan yang tular, pihak pengurusan sebuah masjid dikatakan mengenakan caj RM1,400 bagi urusan pengendalian jenazah. Namun ahli waris dilaporkan mahu meneruskan pengurusan melalui BKS.
Susulan itu, keluarga mendakwa permit pengebumian telah ditahan sehingga jenazah yang dibawa ke Tanah Perkuburan Ukay Perdana tidak dapat dikebumikan serta-merta.
Keluarga turut mendakwa dua anggota polis yang berada di lokasi memaklumkan pengebumian tidak boleh diteruskan sementara menunggu penyelesaian susulan laporan dibuat oleh pihak pengurusan masjid.
Menurut sumber sama, hanya selepas wakil pengurusan masjid hadir ke tanah perkuburan, barulah urusan pengebumian dibenarkan diteruskan.
Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai di media sosial yang mempersoalkan sama ada sebarang pertikaian pentadbiran atau bayaran sepatutnya ditangguhkan sehingga selesai urusan pengebumian.
Setakat laporan ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) atau pihak polis berhubung dakwaan yang tular.
Mynewshub sedang mendapatkan pengesahan dan maklum balas rasmi daripada pihak berkaitan.- MYNEWSHUB
Sumber: Mr. Wan Cai Official
Sumber : Ustaz Wan, Owner Video, Team BKS.



