JOHOR BAHRU – Setiap ahli UMNO perlu melalui proses, bekerja dari bawah, membina kepercayaan, membuktikan kemampuan dan mendapatkan pengiktirafan sebelum diberi amanah oleh parti.
Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, beliau sendiri menjalani proses tersebut sebelum diberi kepercayaan dalam barisan pimpinan parti.
“Pasukan Barisan Nasional (BN) Johor ini jauh lebih besar daripada mana-mana individu. Yang perlu kita pertahankan ialah parti, perjuangan dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu Hafiz berkata, kenyataan yang dibuat oleh Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi adalah satu yang amat mendukacitakan dan melunturkan rasa hormat ramai orang kepadanya.
Menurutnya, mendukacitakan apabila Mohd Puad membuat kenyataan terbuka hanya kerana keputusan calon DUN Rengit tidak memihak kepada apa yang beliau harapkan.
“Lebih membimbangkan, dalam kenyataan itu turut dikaitkan institusi raja dengan keputusan pembubaran DUN dan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Lebih mengejutkan pendedahan perbualan Whatsapp Dr Asyraf Wajdi SUA dengan beliau – hasrat supaya anaknya diletakkan sebagai calon menggantikan beliau di DUN Rengit.
“UMNO dan BN bukan parti milik mana-mana keluarga. Ia bukan parti anak-beranak,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Hafiz Ariffin


