MUAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail membangkitkan beberapa isu termasuk berkenaan projek pembangunan yang tergendala di Johor ketika beliau menghadap baginda semalam.
Anwar berkata, dalam pertemuan tersebut, Tunku Mahkota Ismail membangkitkan tentang projek pembangunan di Johor yang ‘tersangkut’ sejak tahun 2018, beliau namun menegaskan permasalahan itu bukan disebabkan oleh kerajaan pimpinannya.
“TMJ (Tunku Mahkota Ismail) ada beri pandangan dia, terutama sejak 2018 projek-projek yang tersangkut. Kalau 2018 dan sebelumnya dan selepasnya, jangan tanya Anwar, jangan tanya Pakatan Harapan (PH)
“Tanya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika berucap di hadapan penyokong PH pada majlis pengumuman calon PH untuk PRN Johor malam tadi.
Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Umum 2018, Kerajaan Persekutuan ditadbir oleh PH sebelum bertukar kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun 2020 dan kemudian kembali ditadbir oleh PH menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan bermula 2022.
Terdahulu, Perdana Menteri melahirkan rasa kesal kerana mendakwa terdapat pihak yang cuba mengaitkan institusi raja dalam pilihan raya.
“Jangan kaitkan raja-raja. Kalau dia tegur pun, kita terima baik. Kalau runding, kita runding dengan baik.Nak lawan politik tak berani guna nama raja.
“Beritahu…saya runding dengan baik Sultan Johor. Kalau dia terima saya sebagai sahabat, saya terima dia 10 kali lagi sebagai sahabat baik. Dan kita runding dengan baik,” dakwanya.
Anwar seterusnya mendakwa, dalam pertemuan dengan Tunku Mahkota Ismail tersebut, beliau turut menerangkan mengenai pandangan PH tentang rakyat Johor.
“Saya tak fikir Johor Jawa, Johor Bugis. Johor Melayu, tak. Saya kata rakyat Johor. Melayu Johor. Cina, India Johor,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyelar seorang pemimpin kerajaan Johor yang cuma memegang jawatan Exco kerajaan negeri, tetapi mengkritik beliau.
“Amboi, baru Exco. Eh.. PM ini tak tahu urus negara. Ambil wang daripada Johor, tak bagi balik kepada Johor. Eh, eh, eh. Kamu belajar ekonomi di mana ini?,” katanya. – MYNEWSHUB


