JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila berkenan menyertai pertandingan bola sepak 6-sebelah bersama para penyokong dan kakitangan di Istana Pasir Pelangi semalam.
Penyertaan baginda yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan sahaja menyerlahkan minat mendalam terhadap sukan bola sepak, malah membuktikan hubungan erat yang sentiasa dipupuk antara institusi diraja dan rakyat Johor.
Kehadiran Tunku Mahkota Ismail beraksi di atas padang bersama peserta daripada pelbagai lapisan umur turut mendapat pujian ramai yang melihat baginda sebagai seorang pemimpin yang mesra, mudah didekati dan menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang.
Seorang netizen, Murad Mogo menulis di ruangan komen, kesudian baginda turun padang bersama penyokong dan kakitangan membuktikan kepimpinan yang merendah diri serta sentiasa mengutamakan hubungan erat antara institusi diraja dan rakyat.
Menurutnya, Tunku Mahkota Ismail bukan sekadar memimpin dari singgahsana, sebaliknya turut bersama rakyat berkongsi semangat, disiplin dan kecintaan terhadap sukan yang menjadi penyatuan masyarakat.
Sementara itu, seorang lagi netizen, Zul Hijjah menyifatkan konsep pertandingan melibatkan pelbagai peringkat umur sebagai idea yang inklusif dan wajar dicontohi di peringkat komuniti bagi menggalakkan penyertaan semua golongan dalam aktiviti sukan.
Bagi Haniz Haniz pula, aksi baginda di atas padang membuktikan Tunku Mahkota Ismail masih cergas, bertenaga dan terus menjadi inspirasi kepada rakyat Johor.
Rata-rata warga maya turut menzahirkan rasa bangga memiliki pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa dekat di hati masyarakat. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial HRH Crown Prince of Johor


