JOHOR BAHRU – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menerima kritikan netizen selepas membangkitkan semula isu 1MDB menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam satu kenyataan di media sosial semalam, Sheikh Umar mengingatkan rakyat tentang isu 1MDB yang menamatkan dominasi UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Justeru, beliau menerusi hantaran tersebut meminta perbezaan politik diketepikan sekali lagi seperti yang pernah dilakukan pada 2018 untuk mengelak skandal seperti itu berulang.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan DAP seolah-olah kehabisan modal politik untuk meraih sokongan pengundi.
Seorang pengguna Facebook, Mohd Ridzuan menulis dalam ruang komen menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan menunggang isu lama.
“Dah mula dah tunggang isu lama… dah tak ada modal,” sindirnya.
Muhamad Raziz Rahim pula berpendapat parti politik seharusnya menawarkan idea berkaitan pembangunan negara berbanding memainkan sentimen terhadap individu.
Seorang lagi pengguna media sosial, Mohd Khairul Hilmi, mempersoalkan pendekatan tersebut dengan menyatakan kerajaan tidak sepatutnya terus berpolitik seperti pembangkang.
“Kerajaan tapi sembang macam pembangkang. Tak matang lagi,” katanya.
Hafiz Bann pula menyifatkan isu 1MDB sebagai modal politik yang sudah lapuk dan mendakwa sukar untuk menyerang pentadbiran Johor kerana kerajaan negeri dilihat mentadbir dengan baik.
Dalam perkembangan sama, laman media sosial Najib Razak turut mengkritik tindakan DAP mengulangi strategi kempen sama seperti PRN Johor 2022.
Menurut laman media sosial tersebut, DAP sebelum ini menggunakan nama Najib sebagai modal kempen, namun Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar.
“Jika strategi yang sama sudah terbukti gagal sebelum ini, apa logiknya untuk menggunakannya sekali lagi dan berharap rakyat Johor akan memberikan keputusan yang berbeza?” kata hantaran Facebook berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sheikh Omar Ali/Najib Razak


