Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial dan pengkritik kerajaan, Eric See-To (Lim Sian See) sekali lagi mengulangi pelawaan terbuka untuk berdebat dengan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali (Syam Ghaz) susulan pertikaian mengenai isu peruntukan agensi berkenaan.
Perkembangan itu berlaku selepas satu hantaran yang dikaitkan dengan Syam Ghaz mempertahankan peruntukan JKOM dan membandingkannya dengan angka peruntukan JASA dan JKOM pada pentadbiran terdahulu.
Hantaran tersebut mendakwa peruntukan sekitar RM16 juta bagi tahun 2025–2026 adalah lebih rendah berbanding era pentadbiran sebelum ini.
Bagaimanapun, Lim Sian See menerusi respons di media sosial mempersoalkan bukan semata-mata jumlah peruntukan, tetapi cara dan tujuan penggunaan dana awam.
Dalam kenyataannya, beliau turut mendakwa fungsi komunikasi kerajaan ketika era terdahulu berbeza dengan pendekatan yang sedang dipersoalkan ketika ini.
Lim Sian See turut menggesa supaya debat diadakan secara terbuka bagi membincangkan peranan JKOM, penggunaan peruntukan serta hala tuju komunikasi kerajaan.
Pada masa sama, laporan media menyatakan Syam Ghaz sebelum ini dilihat mengambil pendekatan lebih agresif dalam mempertahankan kerajaan dan turut terbuka mencabar beberapa pengkritik untuk sesi perdebatan awam.
Setakat ini, belum terdapat pengumuman rasmi mengenai tarikh, lokasi atau format debat yang dicadangkan antara kedua-dua pihak. – MYNEWSHUB

