KUALA LUMPUR – “Susah nak bekerja dengan orang yang cakap macam ikut ajaran Islam, tapi tindakan mereka tidak sama seperti yang diucapkan malah jauh daripada akhlak dan ajaran Islam.”
Demikian kritikan terbuka Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Faisal Ismail Aziz terhadap PAS yang membuat keputusan menghentikan kerjasama dengan Bersatu.
Menurut beliau, pemimpin PAS perlu kembali berpegang kepada akhlak dan ajaran Islam yang sebenar jika benar-benar mahu menjaga ukhuwah dan perpaduan sesama Islam.
“Tidak adakah pertimbangan halal haram, syarak dan ukhuwah apabila mereka menyokong kumpulan penyokong Hamzah ini?
“Malah dikekalkan pula sebagai Exco dan Timbalan Speaker walaupun jelas mereka ini tidak boleh dipercayai kerana sanggup melanggar baiah dan sumpah atas nama Allah,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
Tun Faisal turut mendakwa PAS tidak pernah mendapatkan pandangan Bersatu apabila menjemput pemimpin-pemimpin yang didakwa melanggar baiah dan sumpah, selain melanggar perlembagaan serta disiplin parti, untuk menyertai program anjuran mereka.
“Dari dahulu sehingga sekarang, tidak pernah sekalipun PAS bertanya pandangan Bersatu apabila menjemput pemimpin-pemimpin yang melanggar baiah dan sumpah, melanggar perlembagaan dan disiplin parti dalam Bersatu ke program-program anjuran mereka,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan PAS yang masih memberi ruang kepada kumpulan berkenaan untuk berceramah serta menerima liputan media parti.
“Sehingga hari ini PAS masih menjemput mereka berceramah. Gambar mereka juga terpampang dalam banner dan poster program ceramah termasuk program menjelang pilihan raya di Melaka.
“Tuan Ibrahim mahu memfitnah kononnya Bersatu tidak memberi izin? Hakikatnya, PAS tidak pernah bertanya pandangan, memikirkan sensitiviti Bersatu atau meminta izin daripada kami,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu yang didakwa tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi Perikatan Nasional (PN).
“Tak pernah pula saya dengar Tuan Ibrahim dan PAS meminta izin daripada Bersatu atau PN untuk membuat Langkah Bangkok atau bercakap mengenai Muafakat Nasional 2.0. Bawa berbincang dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pun tidak pernah,” dakwanya.
Kenyataan itu dibuat susulan ketegangan yang semakin memuncak antara PAS dan Bersatu selepas PAS mengumumkan keputusan untuk menghentikan kerjasama politik dengan parti berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Tun Faisal Ismail Aziz


