KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan pertemuan antara pemimpin parti itu dengan pemimpin UMNO semalam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pertemuan tersebut hanyalah pertemuan biasa apabila terdapat pihak yang ingin bertemu dengan wakil parti berkenaan.
“Pertemuan biasa. Kalau orang nak jumpa kita, kita jumpa. Saya dimaklumkan ada perjumpaan. Saya tak terlibat. Dimaklumkan kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita.
Perkembangan itu hadir selepas beberapa pemimpin PAS menyeru UMNO dan PAS kembali menjalin kerjasama politik melalui Muafakat Nasional 2.0
Mengulas cadang tersebut, Abdul Hadi berkata, menyatukan Melayu Islam negara ini memang merupakan konsep utama PAS dan Melayu Islam mesti memimpin negara.
“Yang kedua wajib mengambil kira masyarakat majmuk bukan Islam. Tak boleh ditinggalkan dan dipinggirkan.
“Kita mengajak bukan sahaja parti-parti Melayu Islam, termasuklah NGO-NGO Islam termasuk kalangan berpengaruh dalam masyarakat Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengesahkan PAS akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun tidak semestinya di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Menurut beliau, PAS perlu menilai terlebih dahulu dari segi pengaruh, peluang kemenangan serta kesesuaian calon yang akan diketengahkan.
“Tidak semestinya (bertanding semua kerusi). Kita akan lihat kewajaran. Itu akan dikaji lagi. Mana yang lebih baik untuk kita bertanding,” katanya.
Beliau turut memaklumkan PAS akan terus memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pilihan raya di negeri-negeri lain, termasuk Negeri Sembilan.
“Insya-Allah kita tunggu dan lihat. Kita akan bertanding di Negeri Sembilan. Kita sudah menang tiga kerusi di Negeri Sembilan dan akan tambah lagi.
“Terdapat banyak kerusi di sana yang mempunyai majoriti tipis, kebanyakannya kurang daripada seribu undi,” katanya. – MYNEWSHUB


