KUALA LUMPUR – Pelawak dan pengacara terkenal, Harith Iskander menggesa masyarakat supaya tidak mempolitikkan tragedi kemalangan maut di Simpang Renggam yang mengorbankan lima nyawa dengan menjadikannya sebagai isu perkauman.
Menerusi satu perkongsian video di media sosial, beliau berkata terdapat pihak yang cuba mengaitkan insiden tersebut dengan sentimen kaum hanya beberapa jam selepas kejadian berlaku, walaupun laporan polis, laporan media dan kenyataan keluarga mangsa tidak menyentuh perkara itu.
“Saya mula melihat ada orang cuba menjadikannya sebagai cerita perkauman, tetapi apabila saya melihat laporan polis, laporan berita dan kenyataan keluarga, tiada siapa yang bercakap mengenai kaum,” katanya.
Sebaliknya, menurut beliau, perbincangan yang timbul daripada tragedi itu sepatutnya tertumpu kepada kesedihan keluarga mangsa, pemanduan berbahaya dan soal kebertanggungjawaban.
Harith turut mengakui bahawa ketika usia mudanya, beliau juga pernah memandu laju dan mengambil risiko di jalan raya sehingga kini menyedari tindakan tersebut adalah satu kesilapan.
“Saya pernah memandu terlalu laju. Saya pernah mengambil risiko. Bila saya fikir semula bagaimana saya menunggang motosikal dahulu, saya rasa saya seorang yang bodoh ketika itu,” katanya.
Beliau menjelaskan perbezaan antara dirinya dan individu yang terlibat dalam kemalangan itu bukan kerana beliau lebih bijak, tetapi kerana bernasib baik tidak terlibat dalam kemalangan serius.
Menurut Harith, tragedi tersebut lebih menggambarkan bahaya apabila keyakinan melampau golongan muda, kenderaan berkuasa tinggi dan kurangnya rasa takut terhadap akibat perbuatan bertemu di jalan raya awam.
“Ini bukan cerita tentang kaum. Ini cerita tentang apa yang berlaku apabila keyakinan orang muda, mesin yang berkuasa dan akibat yang lemah bertemu di jalan raya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa masih ramai pemandu percaya mereka boleh memandu secara berbahaya tanpa berdepan akibat yang serius.
Katanya, kemalangan akibat pemanduan melulu berlaku hampir setiap hari, namun masyarakat hanya kembali membincangkannya secara serius apabila berlaku tragedi yang meragut banyak nyawa.
“Persoalannya bukan apa kaum mereka. Persoalannya ialah mengapa ramai percaya mereka boleh memandu seperti ini dan terlepas begitu sahaja,” ujarnya.
Sehubungan itu, Harith mengajak orang ramai memberi tumpuan kepada usaha mencegah tragedi sama daripada berulang, berbanding terus berdebat mengenai latar belakang kaum individu yang terlibat.
“Daripada bertengkar mengenai kaum, mungkin kita patut bertanya bagaimana untuk mengelakkan satu lagi majlis pengebumian,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Harith Iskander


