KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyarankan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bergerak berasingan dalam pilihan raya akan datang.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu malah membayangkan sudah tiada harapan untuk sebarang kerjasama harmoni antara kedua-dua parti susulan kritikan pemimpin Bersatu terhadap parti berkenaan.
“Apabila kedengaran sayup-sayup di Melaka ada pemimpin Bersatu yang berkata bahawa pekaklah sesiapa yang menyatakan partinya tiada jentera, maka itu bermakna sudah tiada harapan untuk sebarang kerjasama harmoni lagi.
“Justeru, secara peribadi saya cadangkan jalan yang terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihanraya. Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial
Ahmad Fadhli berkata, bukan satu kesalahan jika sesebuah parti itu tiada jentera jika ia parti baru, tetapi yang menjadi masalah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan itu.
Kata beliau, apabila penafian terhadap hakikat itu berlaku, tindakan yang akan lahir nanti berasaskan keyakinan diri sentiasa kuat, walhal hakikat yang jelas terpampang sebaliknya.
“Ia bukan memantapkan parti. Ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan.
“Kerana itu pihak tersebut apabila bertanding lebih banyak kerusi dari kawan-kawan dalam gabungan, tetapi seringkali gagal menang lebih banyak. Ia terhasil dari kajian serta bacaan yang tidak tepat,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari


