JOHOR BAHRU – Ulang Tahun Keputeraan ke-25 Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim pada 30 Mei disambut dengan ucapan tahniah dan doa daripada pelbagai pihak termasuk kerabat diraja Johor serta pimpinan negeri.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi hantaran media sosial menzahirkan ucapan selamat ulang tahun keputeraan kepada Tunku Putera Johor.
“Selamat Ulang Tahun Keputeraan kepada YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor,” titah baginda.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan selamat sempena ulang tahun keputeraan tersebut.
Beliau mendoakan agar Allah SWT memelihara usia Tunku Abu Bakar serta sentiasa mengurniakan rahmat-Nya kepada baginda.
“Semoga Allah SWT peliharakan usia YAM Tunku dan sentiasa dikurniakan rahmat-Nya,” katanya dalam hantaran media sosial.
Dalam pada itu, laman media sosial rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan sambutan ulang tahun keputeraan Tunku Putera Johor diadakan secara sederhana di Istana Bukit Serene semalam.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan mengadakan sambutan tersebut bersama Tunku Mahkota Ismail dan Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail.
Turut menyerikan majlis, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suami Datuk Dennis Muhammad Abdullah serta Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim. – MYNEWSHUB
