KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R Ramanan menyeru masyarakat menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S
Menurut beliau, Aidiladha bukan sekadar sambutan ibadah korban, tetapi juga hari untuk menghayati nilai keprihatinan, perpaduan dan tanggungjawab sesama masyarakat.
“Dalam kepelbagaian bangsa, agama dan budaya di negara ini, Aidiladha membawa mesej besar tentang ihsan, kebersamaan dan saling menghormati.
“Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. mengajar kita bahawa kekuatan sesebuah negara lahir apabila rakyatnya sanggup berkongsi, membantu dan berdiri bersama tanpa mengira perbezaan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menteri Sumber Manusia itu berkata,Malaysia akan terus kukuh apabila rakyatnya memilih perpaduan berbanding perpecahan, serta menyemai semangat hormat-menghormati dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.
Kata beliau, ketika rakyat berganding bahu dan saling menyantuni tanpa mengira latar belakang, di situlah terletaknya kekuatan sebenar Malaysia Madani.
Justeru, beliau menyeru semua pihak terus memelihara keharmonian dan perpaduan yang menjadi tunjang kestabilan negara.
“Semoga Aidiladha kali ini mengingatkan kita bahawa keamanan dan kemakmuran hanya dapat dipertahankan apabila rakyat terus bersatu hati dan saling memperkukuh antara satu sama lain,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ramanan Ramakrishnan Official Media


