KUALA LUMPUR – Pensyarah dan pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad mempersoalkan kesungguhan pelbagai pihak dalam merealisasikan sistem sekolah satu aliran di negara ini walaupun ramai mengakui ia baik untuk perpaduan kaum.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau berkata isu utama bukan sama ada sekolah satu aliran boleh diwujudkan atau tidak, sebaliknya sama ada negara mempunyai keberanian politik untuk melaksanakannya.
“Jawab saya, boleh. Cuma kalau nak wujudkan sekolah satu aliran, sama ada antara kita takut dan berani sahaja. Kita semua tahu sekolah satu aliran memang baik untuk perpaduan kaum. Soalnya ada berani?,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Menurutnya, sejarah pendidikan negara membuktikan peluang untuk melaksanakan sekolah satu aliran pernah terbuka sebanyak dua kali, namun kedua-duanya tidak dimanfaatkan.
Katanya, peluang pertama berlaku pada tahun 1950 menerusi Laporan Barnes yang dicadangkan oleh penjajah British ketika itu.
“Laporan Barnes mencadangkan pemansuhan semua sekolah vernakular dan mewujudkan hanya satu aliran persekolahan menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
“Itu cadangan yang membuka peluang kepada sekolah satu aliran. Tetapi kita tolak,” katanya.
Beliau berkata jika cadangan itu dilaksanakan ketika itu, kemungkinan besar Malaysia hari ini hanya mempunyai satu sistem persekolahan untuk semua kaum.
Anuar turut menyentuh peluang kedua selepas tragedi 13 Mei 1969 ketika negara berada di bawah pentadbiran Mageran.
Menurut beliau, ketika itu kerajaan mempunyai ruang untuk mewujudkan undang-undang yang mewajibkan sekolah satu aliran demi membina perpaduan nasional pasca tragedi tersebut.
“Kedua-dua peluang itu telah kita lepaskan sebab kita sendiri takut untuk buat keputusan mewujudkan sekolah satu aliran,” katanya.
Beliau berpandangan kegagalan membuat keputusan itu menyebabkan isu sekolah vernakular, pengiktirafan UEC, bahasa kebangsaan dan perpaduan kaum terus menjadi polemik sehingga hari ini.
Malah katanya, pembentukan Kerajaan Perpaduan pada tahun 2022 yang menghimpunkan UMNO, DAP, PKR, Amanah serta parti-parti utama Sabah dan Sarawak juga sebenarnya membuka satu lagi peluang untuk membincangkan isu tersebut secara bersama.
“Jika sebelum ini UMNO dan DAP selalu bertelagah tentang isu sekolah satu aliran, sekolah vernakular dan UEC, bukankah tahun 2022 adalah peluang terbaik untuk mereka duduk semeja dan bekerjasama?” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anuar Ahmad


