JOHOR BAHRU – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke Turkiye bagi mengadakan lawatan khas melibatkan beberapa acara rasmi termasuk Majlis Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Istanbul Shipyard.
Menurut perkongsian dimuat naik di akaun rasmi media sosial Sultan Ibrahim, keberangkatan Seri Paduka Baginda turut diiringi paduka anakanda iaitu Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor serta Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Pesawat peribadi Seri Paduka Baginda dilaporkan berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kira-kira jam 9 pagi tadi.
Lawatan khas itu dijangka memberi tumpuan kepada program berkaitan industri pertahanan dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye yang semakin erat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Terdahulu, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye terus diperkukuh menerusi beberapa siri lawatan rasmi pemimpin tertinggi kedua-dua negara termasuk melibatkan kerjasama pertahanan, perdagangan dan pendidikan.
Perkongsian keberangkatan Raja Permaisuri Agong itu turut menerima pelbagai reaksi positif daripada rakyat yang mendoakan agar perjalanan Seri Paduka Baginda dipermudahkan sepanjang lawatan berlangsung.- MYNEWSHUB


