KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan mengadakan pertemuan dengan syarikat pertahanan Turkiye, Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş. (MKE) yang diketuai Timbalan Pengurus Besarnya, Tolga Çelik sempena lawatan kerja di Istanbul.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertemuan tersebut susulan pemeteraian perjanjian antara MKE dan pihak tempatan ketika pameran Defence Services Asia 2026 baru-baru ini di Kuala Lumpur.
Katanya, perjanjian itu melibatkan pembangunan fasiliti di Melaka bagi memperkukuh industri pertahanan tempatan menerusi pengeluaran komponen, pemasangan serta pemindahan teknologi.
“Pertemuan hari ini turut membincangkan potensi Malaysia sebagai hab sokongan pertahanan serantau, selain kerjasama strategik jangka panjang, pemindahan teknologi dan perkongsian industri pertahanan antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Beliau berkata, Malaysia menekankan bahawa setiap kerjasama pertahanan perlu memberi nilai tambah kepada industri tempatan termasuk melalui projek usaha sama, peningkatan penggunaan komponen tempatan dan pemindahan teknologi.
Tambahnya, pendekatan itu penting bagi membolehkan syarikat Malaysia menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global industri pertahanan.
Beliau turut berharap pertemuan tersebut dapat membuka ruang kerjasama lebih kukuh antara Malaysia dan Turkiye sekali gus menyokong pembangunan industri pertahanan negara yang lebih berdaya saing, berdikari dan menuju ke arah “self-reliance” – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Khaled Nordin


