Oleh Mynewshub
KUCHING – Cubaan menyeludup ribuan telur penyu secara haram membawa padah apabila seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Seksyen Kuching selepas mengaku bersalah memiliki 2,253 biji telur penyu tanpa permit sah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Perbadanan Perhutanan Sarawak, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 37(2)(a) dibaca bersama Seksyen 29(1)(c) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar (WLPO) kerana memiliki spesies hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran daripada Unit Kawalan Hidupan Liar Sarawak.
Kes berkenaan berjaya dibongkar menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), hasil kerjasama penguatkuasaan rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia bagi membanteras aktiviti penyeludupan telur penyu di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Operasi tersebut melibatkan beberapa agensi penguat kuasa termasuk Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak, Pos Lintas Batas Negara Jagoi Babang, Badan Karantina Indonesia serta Satgas Perbatasan SSK II Indonesia.
Menurut SFC, kejayaan operasi itu dicapai hasil perkongsian risikan dan tindakan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan secara strategik oleh semua agensi terlibat.
“Aktiviti penyeludupan telur penyu bukan sahaja melanggar undang-undang negara, malah memberi ancaman serius terhadap kelestarian spesies penyu yang semakin terancam,” menurut kenyataan itu.
SFC turut menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi dalam dan luar negara bagi memastikan kegiatan penyeludupan serta perdagangan haram hidupan liar dapat dibanteras secara lebih berkesan.
Dalam masa sama, orang ramai diseru supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti berkaitan perdagangan haram hidupan liar demi melindungi khazanah biodiversiti negara untuk generasi akan datang.
