KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mempertahankan penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi dalam bahasa Cina di klinik kerajaan dengan menegaskan bahawa pendekatan itu selaras dengan etika perubatan serta realiti masyarakat majmuk di Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, DAPSY berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan institusi milik seluruh rakyat Malaysia dan hak mendapatkan maklumat kesihatan yang tepat tidak sepatutnya dinafikan hanya kerana faktor bahasa.
“Etika utama dalam bidang perubatan adalah menyelamatkan nyawa. Dalam soal kesihatan dan keselamatan nyawa, bahasa sepatutnya menjadi jambatan komunikasi, bukannya tembok yang menghalang pesakit menerima rawatan,” menurut kenyataan itu.
DAPSY berkata, kebanyakan klinik kerajaan ketika ini mempunyai petugas kesihatan yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa ibunda rakyat Malaysia demi memastikan pesakit memahami keadaan kesihatan mereka dengan lebih jelas.
Menurut mereka, ramai doktor dan jururawat berbangsa Melayu sendiri menggunakan istilah asas dalam bahasa ibunda pesakit warga emas bagi memudahkan proses penerangan serta rawatan.
“Interaksi berlandaskan etika perubatan ini penting bagi memastikan ketepatan komunikasi dalam proses diagnosis dan rawatan, sekali gus menjamin hak serta kefahaman pesakit,” katanya.
DAPSY turut menjadikan pengalaman sewaktu pandemik COVID-19 sebagai contoh bagaimana penggunaan pelbagai bahasa dalam sektor kesihatan bukanlah sesuatu yang asing.
Ketika pandemik berada di tahap kritikal, kerajaan menggerakkan ramai sukarelawan yang mahir dalam pelbagai bahasa untuk membantu melancarkan proses saringan berskala besar.
Menurut DAPSY, faktor sejarah dan latar belakang pendidikan menyebabkan masih terdapat segelintir warga emas yang tidak fasih menggunakan Bahasa Melayu moden, malah ada yang tidak mampu menguasai bahasa ibunda mereka dalam bentuk tulisan.
“Walaupun begitu, mereka telah berpuluh-puluh tahun bekerja keras menyara keluarga serta menyumbang kepada pembangunan negara melalui tenaga kerja dan pembayaran cukai,” katanya.
DAPSY menegaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak pernah dipertikaikan, namun penggunaan bahasa lain secara praktikal dalam urusan tertentu perlu diberi ruang berdasarkan keperluan semasa.
Mereka berpandangan pentadbiran KKM tidak akan terjejas selagi laporan rasmi dan rekod utama kementerian terus disediakan dalam Bahasa Melayu.
DAPSY turut menyindir pihak yang membangkitkan isu berkenaan dengan mendakwa ancaman sebenar terhadap Bahasa Melayu bukanlah sekeping kad tambahan dalam bahasa Cina di klinik kerajaan.
“Ancaman sebenar ialah sikap segelintir ‘polis bahasa’ yang terlalu taksub bermain retorik politik tanpa memahami realiti pelaksanaan di lapangan.
“Golongan ini bukan sahaja tidak menyumbang kepada pemerkasaan budaya dan perkembangan Bahasa Melayu dalam era moden, malah memaksa orang lain menerima stereotaip serta pandangan sempit mereka,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DAPSY Malaysia


