• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Wednesday, May 20, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Imunisasi Tdap Untuk Ibu Hamil: Perisai Awal Lindungi Bayi Daripada ‘Batuk 100 Hari’

oleh Mynewshub
19/05/2026
dalam Utama & Sensasi
0
Imunisasi Tdap Untuk Ibu Hamil: Perisai Awal Lindungi Bayi Daripada ‘Batuk 100 Hari’
Share on FacebookShare on Twitter

PETALING JAYA, 19 Mei 2026 – Di sebalik kegembiraan menanti kelahiran cahaya mata, ramai ibu hamil mungkin tidak menyedari bahawa bayi yang baru lahir sebenarnya sangat terdedah kepada penyakit berbahaya seperti pertusis atau lebih dikenali sebagai batuk kokol, yang turut digelar sebagai “batuk 100 hari”.

Penyakit ini bukan sekadar batuk biasa. Dalam kes tertentu, ia boleh menyebabkan bayi sukar bernafas, kekurangan oksigen, radang paru-paru, kerosakan otak malah membawa maut.

Justeru, langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan imunisasi Tdap untuk ibu hamil sejak tahun 2025 menerima pujian ramai pakar perubatan sebagai satu usaha penting bagi melindungi bayi pada fasa awal kehidupan mereka.

Malaysia kini menyertai lebih 50 negara di seluruh dunia yang melaksanakan imunisasi Tdap untuk wanita hamil, sekali gus memperkukuhkan komitmen negara terhadap perlindungan kesihatan ibu dan bayi mengikut piawaian antarabangsa.

Bayi Bawah 6 Bulan Paling Berisiko

Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life, Prof. Datuk Dr Zulkifli Ismail, bayi berusia lima bulan dan ke bawah merupakan golongan paling mudah mengalami komplikasi serius akibat pertusis.

Katanya, apabila dijangkiti, bayi boleh mengalami batuk yang kuat dan tidak terkawal sehingga menyukarkan mereka bernafas.

“Ada bayi yang bibir atau kulit mereka menjadi biru akibat kekurangan oksigen. Dalam kes yang teruk, ia boleh menyebabkan pneumonia, kerosakan otak dan juga kematian,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa sebanyak 43.8 peratus kes pertusis yang direkodkan pada tahun 2023 melibatkan bayi berusia lima bulan dan ke bawah.

Lebih membimbangkan, sebanyak 43 kematian bayi dalam kumpulan umur sama dilaporkan berpunca daripada penyakit tersebut.

Bahaya Datang Daripada Orang Terdekat

Apa yang lebih mengejutkan, jangkitan pertusis selalunya datang daripada individu paling hampir dengan bayi itu sendiri.

Kanak-kanak yang lebih tua atau orang dewasa mungkin hanya mengalami batuk ringan atau batuk berpanjangan tanpa menyedari mereka sebenarnya pembawa bakteria pertusis.

Ini bermakna ibu bapa, adik-beradik, pengasuh, datuk nenek malah petugas kesihatan sendiri boleh menjadi punca jangkitan kepada bayi kecil.

Profesor Zulkifli menjelaskan bahawa bayi belum mendapat perlindungan penuh melalui vaksin DTaP kerana imunisasi tersebut hanya diberikan secara berperingkat pada usia 2, 3, 5 dan 18 bulan.

“Bayi tidak akan terlindung sepenuhnya sebelum usia enam bulan,” jelas beliau.

Imunisasi Semasa Hamil Jadi Benteng Awal

Sementara itu, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi (Fetomaternal) dan Presiden Persatuan Perinatal Malaysia, Prof. Dr Jamiyah Hassan berkata, sebab itulah imunisasi Tdap diberikan kepada ibu hamil.

Menurut beliau, apabila ibu menerima vaksin Tdap ketika hamil, tubuh ibu akan menghasilkan antibodi yang kemudiannya dipindahkan kepada bayi melalui plasenta.

“Ini memberi perlindungan kepada bayi sejak dilahirkan dan sepanjang bulan-bulan kritikal pertama kehidupannya,” katanya.

Lebih menarik, keberkesanan vaksin ini sangat tinggi apabila kajian menunjukkan imunisasi Tdap semasa kehamilan mampu mengurangkan risiko pertusis dalam kalangan bayi sehingga 93 peratus serta mencegah sehingga 95 peratus kematian berkaitan penyakit tersebut.

Selain melindungi daripada pertusis, vaksin Tdap turut membantu melindungi ibu dan bayi daripada tetanus serta difteria, dua penyakit yang juga boleh membawa komplikasi serius.

Selamat Untuk Ibu Dan Bayi

Dalam masa sama, Profesor Jamiyah menegaskan bahawa vaksin Tdap telah digunakan secara meluas di seluruh dunia dan terbukti selamat untuk ibu serta bayi.

Walaupun ada ibu hamil yang mungkin mengalami kesan sampingan ringan seperti sakit di tempat suntikan atau keletihan sementara, kesan tersebut biasanya tidak serius dan boleh diterima dengan baik.

Imunisasi Tdap disyorkan untuk setiap kehamilan dan diberikan secara percuma di klinik kerajaan ketika usia kandungan antara 28 hingga 32 minggu.

Ibu hamil juga boleh mendapatkannya di hospital universiti, hospital swasta dan klinik swasta dengan bayaran tertentu.

Pesanan Sempena Hari Ibu

Sempena sambutan Hari Ibu, Profesor Jamiyah turut menitipkan pesanan menyentuh hati kepada semua wanita hamil.

“Bayi kita bergantung kepada kita untuk perlindungan sejak awal kehidupan mereka. Mendapatkan vaksin semasa kehamilan ialah salah satu cara paling efektif untuk melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan berbahaya yang boleh dicegah melalui vaksin,” katanya.

Beliau berkata, langkah kecil yang diambil ibu hari ini mungkin menjadi penyelamat nyawa buat bayi pada masa depan. – MYNEWSHUB

**Artikel ini adalah sumbangan dari Immunise4Life (IFL), dengan kerjasama Persatuan Perinatal Malaysia, dan disokong oleh inisiatif ‘Vaccination is Protection’. IFL merupakan program advokasi, pendidikan dan latihan imunisasi sepanjang hayat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia. Artikel ini telah diedit dan dikarang kembali agar menepati syarat editorial Mynewshub. Sebarang perbezaan pada artikel asal adalah tidak disengajakan. 

TAMAT

Tags: KKM
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi Dalam Bahasa Cina Untuk Bantu Komunikasi – KKM

Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi Dalam Bahasa Cina Untuk Bantu Komunikasi – KKM

19/05/2026
0

KUALA LUMPUR – Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi dalam bahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak merupakan inisiatif sokongan komunikasi kepada...

KKM Semak Dakwaan Kad Laporan Kesihatan Guna Bahasa Cina

KKM Semak Dakwaan Kad Laporan Kesihatan Guna Bahasa Cina

19/05/2026
0

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyemak dakwaan kad laporan kesihatan oleh sebuah klinik kesihatan kerajaan menggunakan bahasa...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd