KUALA LUMPUR – Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi dalam bahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak merupakan inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian bahasa.
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bertujuan membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi yang merekodkan banyak kes denggi.
“JKWPKL&P ingin menegaskan bahawa penggunaan rekod pemantauan pesakit secara rasmi adalah dalam Bahasa Melayu.
“Namun, bagi membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian bahasa,” menurut kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, JKWPKL&P memaklumkan pihaknya mengambil serius aduan yang tular di media sosial berhubung penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak.
Menurut JKWPKL&P, siasatan mendapati insiden itu berlaku pada 18 Mei 2026 membabitkan seorang pesakit kanak-kanak yang hadir mendapatkan rawatan bagi kes disyaki demam denggi.
“Dalam kes ini, telah berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit yang tidak disengajakan.
“Bagaimanapun, penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan telah diberikan oleh pegawai perubatan kepada pesakit dalam Bahasa Melayu, termasuk catatan bertulis pada kad tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, pihak JKWPKL&P telah mengambil langkah penambahbaikan serta-merta bagi memastikan pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian, di samping mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.
“JKWPKL&P ingin memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan kekal komited untuk terus memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan mesra rakyat,” menurut kenyataan itu. – MYNEWSHUB


