Oleh Mynewshub
SAN DIEGO – Seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Amin Abdullah yang terkorban dalam serangan tembakan di Pusat Islam San Diego kini dikenang sebagai wira selepas dipercayai mengorbankan nyawanya demi melindungi pelajar serta para jemaah di masjid berkenaan.

Amin dilaporkan pernah bertugas menjaga keselamatan di beberapa masjid di Amerika Syarikat dan merupakan seorang mualaf yang memeluk Islam selepas dilahirkan sebagai penganut Kristian.
Kisah pengorbanannya menyentuh hati ramai apabila salah satu hantaran terakhirnya di Facebook kembali tular selepas insiden berdarah itu berlaku.
Dalam hantaran tersebut, Amin menulis mengenai makna sebenar kejayaan dalam hidup, bukan pada harta atau kemasyhuran, sebaliknya kembali kepada Allah SWT dengan jiwa yang suci.
Antara petikan yang dikongsikannya berbunyi:
> “Apa itu kejayaan? Bagi ramai orang, kejayaan ialah kestabilan kewangan, reputasi yang baik, kecantikan dan sebagainya.
Tetapi bagi aku, demi Allah… kejayaan sebenar adalah kembali kepada Allah, Pencipta kita, dengan jiwa yang sama suci seperti ketika Dia meminjamkannya kepadaku saat lahir.
Semoga para malaikat berkata:
‘Jangan takut dan jangan bersedih, tetapi bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.’”

Hantaran itu kini dianggap ramai sebagai legasi terakhir Amin yang menyentuh hati umat Islam di seluruh dunia.
Sebelum ini, serangan tembakan di pusat Islam terbesar di San Diego pagi ini mengorbankan lima individu termasuk dua suspek yang ditemukan mati selepas kejadian.
Polis Amerika Syarikat mengklasifikasikan insiden tersebut sebagai jenayah kebencian.
Ramai netizen dan komuniti Islam turut membanjiri media sosial dengan doa serta ucapan penghormatan buat Amin atas keberaniannya mempertahankan nyawa orang lain.
“Semoga Allah SWT menerima segala pengorbanan Brother Amin, mengampuni dosanya, meluaskan kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan para syuhada serta penghuni syurga tertinggi,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Pengakhiran hidup yang dicemburui… gugur ketika menjaga rumah Allah,” kata seorang lagi.
Semoga Allah SWT mengurniakan husnul khatimah buat Allahyarham Amin Abdullah dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.- MYNEWSHUB
