KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azrul Abu Hasan mengingatkan Presiden UMNO supaya tidak menyamakan tahap pemikiran akar umbi parti itu dengan ‘walanon’ yang menurutnya mudah mempercayai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azrul berkata, kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo kerana menggunakan logo BN, namun pada masa sama tidak akan bertindih dengan Pakatan Harapan (PH) menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan akar umbi UMNO.
Menurut beliau, ramai dalam kalangan ahli bawahan memahami maksud strategi politik dan tidak mudah menerima definisi ‘solo’ yang disifatkannya bercanggah dengan pengertian sebenar.
“Akar umbi UMNO yang tergelak pun ada, yang naik menyampah pun ada. Akar umbi UMNO ni cerdik sikit tak macam akar umbi parti-parti wala’ yang lain kerana kami faham apa maksud-maksud dalam politik. Kalau solo, maksudnya kita bertanding di semua kerusi.
“Contoh di Melaka kalau BN solo maksudnya bertanding di semua 28 kerusi dan di Johor BN bertanding di semua 56 kerusi. Kalau di peringkat Persekutuan atau PRU, BN kalau solo bukannya bertanding 115 kerusi tetapi sekurang-kurangnya 175 kerusi,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Beliau turut menegaskan akar umbi UMNO juga memahami bahawa keputusan berkaitan kerjasama pilihan raya di negeri seperti Johor dan Melaka bukan ditentukan di peringkat negeri, sebaliknya diputuskan oleh kepimpinan UMNO Pusat.
Justeru, katanya, sekiranya kepimpinan pusat terus memilih kerjasama dengan PH, segala tanggungjawab politik perlu dipikul oleh presiden parti khususnya jika pendekatan tersebut gagal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kalau UMNO Pusat a.k.a. Mr Presiden nak juga dengan PH, semua beban akan diletakkan kepada presiden dan jika langkah ini gagal di PRN Johor, Melaka dan PRU, takkan nak paksa akar umbi terima kekalkan kepimpinan atasan lagi dalam pemilihan UMNO akan datang?” soalnya.
Dalam pada itu, Azrul berkata, PRN akan datang merupakan peluang terbaik untuk UMNO dan BN mengukur kekuatan sebenar parti selain menawarkan semula kepimpinan UMNO kepada rakyat.
Menurut beliau, sekiranya BN benar-benar bergerak secara solo, parti itu perlu berani mengetengahkan calon Perdana Menteri daripada UMNO sendiri dan bukannya terus bergantung kepada Anwar.
“Calon Perdana Menteri daripada UMNO sudah tentulah presiden parti sendiri. Takkan mahu terus beri kepada Anwar Ibrahim yang juga sekutu DAP dan semakin tidak popular?” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Azrul Abu Hasan


