JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor membantah penambahan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, sebaliknya mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri ini.
PH Johor mendakwa persempadanan semula kawasan pilihan raya supaya representasi rakyat Johor dapat dilakukan secara lebih adil, seimbang dan selaras.
“Kali terakhir persempadanan semula dilaksanakan Mac 2018 dan telah melepasi tempoh lapan tahun sebagaimana diperuntukan untuk semakan semula,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan
Menurut mereka, berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) Johor setakat Disember 2025, jumlah keseluruhan pengundi di negeri itu adalah seramai 2,717,495 orang melibatkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini menjadikan purata jumlah pengundi bagi setiap DUN di Johor sekitar 48,526 orang.
“Bagaimanapun, dengan pertambahan dan perpindahan penduduk yang pesat khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar, telah wujud ketidakseimbangan ketara dari segi jumlah pengundi antara kawasan DUN,” menurut kenyataan itu.
PH Johor mendakwa terdapat kawasan DUN yang mempunyai jumlah pengundi terlalu tinggi manakala sebahagian lain pula terlalu rendah sehingga mewujudkan jurang representasi yang besar.
“Sebagai contoh, jumlah pengundi DUN Kota Iskandar telah mencecah 131,330 orang, manakala DUN Tenang hanya sekitar 23,000 pengundi.
“Ini bermakna jurang jumlah pengundi antara kedua-dua kawasan telah mencecah lebih 100,000 pengundi, satu perbezaan yang amat besar dan tidak seimbang dari sudut representasi demokratik,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, enam kawasan DUN di Johor mempunyai jumlah pengundi melebihi 100,000 orang iaitu Kota Iskandar, Puteri Wangsa, Tiram, Permas, Perling dan Skudai.
Selain itu, lapan lagi kawasan DUN mempunyai jumlah pengundi antara 50,000 hingga 100,000 orang iaitu Johor Jaya, Stulang, Larkin, Kempas, Senai, Penggaram, Mengkibol dan Mahkota.
“Pada masa sama, sebanyak 42 kawasan DUN lain mempunyai jumlah pengundi kurang daripada 50,000 orang,” menurut kenyataan itu.
PH Johor berpandangan langkah persempadanan semula penting bagi memastikan beban tugas wakil rakyat lebih munasabah dan tidak menjejaskan keupayaan mereka memberikan perkhidmatan berkesan kepada rakyat.
Menurut mereka, wakil rakyat perlu mempunyai kapasiti yang sesuai untuk mengurus isu kebajikan, pembangunan, infrastruktur serta aduan rakyat secara lebih dekat dan efektif.
Katanya lagi, trend pertambahan pengundi dijangka terus meningkat sejajar perkembangan pesat negeri itu, khususnya menerusi pembangunan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) serta projek Rapid Transit System (RTS) pada masa depan.
“Taburan pengundi yang lebih sekata dan seimbang adalah lebih adil serta selari dengan prinsip demokrasi ‘satu orang, satu undi’ supaya keadaan ‘under represented’ dan ‘over represented’ dapat dikurangkan secara lebih efektif,” katanya.
PH Johor turut menegaskan bahawa penambahan ADUN lantikan tidak seharusnya dijadikan jalan mudah bagi menangani isu representasi rakyat.
“Fokus utama seharusnya diberikan kepada reformasi persempadanan, pengukuhan institusi demokrasi serta memperkasakan mandat rakyat melalui wakil rakyat yang dipilih secara langsung oleh pengundi,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, PH Johor memaklumkan pihaknya akan menggerakkan kempen kutipan tandatangan bantahan terhadap cadangan penambahan ADUN lantikan secara fizikal dan menerusi platform dalam talian bagi memberi ruang kepada rakyat Johor menyatakan pendirian secara terbuka dan demokratik. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Sheikh Omar Ali


