KUALA TERENGGANU – Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) mengakui terdapat beberapa kenyataan tidak tepat daripada sudut fakta sejarah oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkaitan latar kehidupan Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman sebelum memeluk Islam.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd. Nor Hamzah berkata, DUPP telah menyampaikan teguran serta peringatan secara dalaman kepada Nik Muhammad Zawawi supaya lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para sahabat Rasulullah.
“DUPP mengambil maklum dan memandang serius polemik yang timbul susulan ceramah Nik Muhammad Zawawi Salleh di Kuala Terengganu.
“Setelah meneliti sedutan rakaman ceramah tersebut serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, DUPP mengakui bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mohd. Nor berkata, DUPP menegaskan bahawa para sahabat Rasulullah merupakan generasi terbaik umat Islam yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka.
Menurut beliau, sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka khususnya kehidupan mereka pada zaman jahiliyyah hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih.
“DUPP menghargai teguran para asatizah dan ilmuwan yang disampaikan secara beradab, ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih. Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat.
“DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dewan Ulamak Pas Pusat


