KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu di seluruh negara.
Sultan Ibrahim bertitah, ibu adalah guru pertama, pelindung dan pembentuk karakter manusia yang bakal mencorak masa depan bangsa.
“Seorang ibu memegang pelbagai peranan dalam membentuk jati diri manusia. Daripada mereka, kita belajar tentang nilai ihsan, ketabahan dan erti pengorbanan,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa sebagaimana yang dituntut dalam agama, berbakti kepada mereka adalah kunci kepada keberkatan hidup dunia dan akhirat.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan mendalam buat Raja Permaisuri Agong atas ketulusan dan dedikasi Baginda membesarkan anakanda-anakanda dengan limpahan kasih sayang.
Baginda berdua turut menyeru rakyat untuk terus mendoakan kesejahteraan bonda-bonda yang telah pergi mendahului kita.
“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Almarhumah bonda, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Al-Fatihah,” titah Seri Paduka Baginda. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


