KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyaksikan demonstrasi jet pejuang pelbagai peranan generasi kelima, Sukhoi Su-57E di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky hari ini.
Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam satu kenyataan berkata, jet pejuang itu dipandu oleh Sergei Bogdan, juruterbang ujian terkenal Russia berusia 64 tahun yang juga penerima gelaran “Hero of Russia”.
“Bogdan merupakan juruterbang ujian utama syarikat pengeluar pesawat Sukhoi sejak tahun 2000 dan dikenali sebagai individu penting dalam program pembangunan pesawat tempur generasi kelima Russia.
“Demonstrasi udara selama hampir tujuh minit itu mempamerkan keupayaan teknologi ketenteraan moden Persekutuan Russia termasuk kecanggihan sistem radar serta kemampuan operasi pelbagai peranan dimiliki jet pejuang berkenaan,” kata kenyataan itu.
Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai jet pejuang berkenaan selain meluangkan masa melihat ruangan dalaman Su-57E.
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Timbalan Pengarah Perkhidmatan Persekutuan bagi Kerjasama Ketenteraan-Teknikal Russia (FSMTC), Mikhail Petukhov.
Sultan Ibrahim berangkat tiba di Moscow kelmarin atas jemputan khas kerajaan Russia sebagai tetamu kehormat menjelang sambutan Hari Kemenangan esok. – MYNEWSHUB


