PETALING JAYA – Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya menyelamatkan seorang wanita yang mengalami insiden jari tersepit pada butang ‘flush’ tandas dalam kejadian di Damansara Perdana, semalam.

Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, pihak itu menerima panggilan kecemasan pada jam 2.13 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di tempat kejadian, anggota bomba mendapati jari mangsa tersepit pada bahagian mekanisme plastik di dalam tangki tandas sehingga tidak dapat dikeluarkan.

Operasi menyelamat kemudiannya dijalankan menggunakan peralatan khas bagi memotong dan membuka komponen plastik tersebut.
Difahamkan, kerja-kerja pemotongan dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan tambahan kepada mangsa.
Selepas beberapa minit, komponen tersebut berjaya dipotong dan jari mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang komplikasi serius.
Pihak bomba turut mengesahkan keadaan di lokasi adalah selamat selepas operasi selesai.



