KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan nasihat kepada orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan berikutan cuaca panas.
Menurut KKM, bagi tempoh 1 Januari hingga 3 Mei 2026, sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan di seluruh negara, terdiri daripada 47 kes kelesuan haba, empat kes strok haba exertional, empat kes strok haba dan satu kes kekejangan haba.
“Sebanyak dua kes kematian akibat strok haba turut dilaporkan pada tahun 2026, melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tertinggal dalam kenderaan dan seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyertai aktiviti maraton di Pulau Pinang.
“Kedua-dua kes berlaku ketika keadaan cuaca berada di bawah Tahap Amaran 1. Faktor risiko utama dikenal pasti ialah pendedahan kepada haba melampau dalam persekitaran tertutup dan aktiviti fizikal lasak dalam tempoh yang panjang, yang menyebabkan dehidrasi teruk serta kegagalan kawal atur suhu badan,” kata KKM dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut KKM, analisis menunjukkan bahawa 58 peratus kes penyakit berkaitan cuaca panas adalah berkait dengan aktiviti fizikal semasa cuaca panas.
Jelas KKM, daripada jumlah tersebut, hampir separuh melibatkan aktiviti sukan dan olahraga seperti merentas desa, latihan sukan dan maraton, manakala sebahagian lagi melibatkan latihan fizikal berintensiti tinggi oleh pasukan keselamatan dan operasi.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan berikut semasa cuaca panas.
“Hadkan aktiviti fizikal lasak dan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas. Sekiranya terpaksa bekerja di bawah cuaca panas, banyakkan masa untuk berehat di tempat teduh bagi menyejukkan badan;
“Banyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga bagi memastikan badan kekal terhidrat. Gunakan pelindung diri seperti topi, payung serta pakaian yang ringan dan berwarna cerah,” kata kenyataan itu.
Tambah KKM, orang ramai juga diminta memastikan golongan berisiko seperti bayi, kanak-kanak, warga emas dan individu berpenyakit kronik mendapat hidrasi mencukupi serta dipantau, serta elakkan meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan.
“Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti pening, mual, kekejangan otot atau keletihan melampau,” kata KKM.
KKM juga menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pusat jagaan agar mengambil langkah pencegahan sewajarnya, khususnya dalam merancang dan melaksanakan aktiviti luar bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba. – MYNEWSHUB


