KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden secara sinis menyarankan ‘Kementerian Mabuk’ ditubuhkan di bawah Kerajaan Madani.
Beliau dalam nada sindiran berkata, ‘Kementerian Mabuk’ khusus untuk Datuk Seri Tiong King Sing bersama pegawainya yang dilantik dalam kalangan kaki mabuk.
“Oleh kerana Menteri MOTAC ni suka mabuk, suka hidang dan minum arak dalam majlis rasmi kerajaan, tak peduli teguran, tak peduli sensitiviti orang, elok buat satu kementerian baru Kementerian Mabuk.
“Lantik semua kaki mabuk jadi pegawai kamu. Bukan setakat nak minum dalam majlis, nak mandi berendam mabuk sampai sewel kepala otak pun boleh,” sindirnya dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam nada sindiran yang lebih tajam, Afnan Hamimi mencadangkan ‘Kementerian Mabuk’ ditempatkan di dalam zoo.
“Buat kolam luas, tuang arak dalam tu. Menteri boleh duduk tidur berguling dalam kolam tu sampai bila-bila. Ajak sekali semua pemandu-pemandu mabuk yang bangang dan tak ada hati perut masuk duduk sekali dalam kolam tu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ‘Kementerian Mabuk’ dilarang menggunakan wang cukai rakyat untuk membiayai aktiviti mabuk, sebaliknya guna cukai arak yang dikutip.
“Sekupang pun kami tak halalkan duit cukai yang kami bayar untuk kamu buat aktiviti mabuk merosakkkan dan melingkupkan masa depan anak muda. Wahai rakyat, inilah yang kita dapat bila silap lantik pemimpin. Selamatkan Malaysia,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Afnan Hamimi Taib Azamudden

