KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menepis dakwaan Pakatan Harapan (PH) bahawa tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun merupakan usaha ‘tebuk atap’
BN Negeri Sembilan dalam satu kenyataan media berkata, seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO BN Negeri Sembilan menarik sokongan bukan cubaan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri secara tidak bertanggungjawab.
“Pendirian 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan dibuat secara terbuka, rasmi dan berasaskan prinsip. Ia bukan tindakan sulit, bukan rundingan pintu belakang dan bukan gerakan merebut kuasa.
“Ia adalah pendirian politik yang sah apabila keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar telah hilang,” kata kenyataan itu.
BN Negeri Sembilan berkata, PH perlu memahami bahawa isu yang berlaku bukan sekadar pertikaian politik biasa, sebaliknya menyentuh krisis yang melibatkan institusi adat, Perlembagaan Negeri, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta kestabilan pentadbiran negeri.
Justeru, kata BN Negeri Sembilan, tindakan menarik sokongan bukan soal prestasi harian Menteri Besar semata-mata, tetapi soal keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan beliau dalam mengurus krisis institusi yang amat sensitif.
“Tindakan dan kenyataan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat, mencetuskan pertikaian awam, dan Exco UMNO BN tidak dimaklumkan secara sewajarnya dalam proses kerajaan negeri.
“Maka UMNO BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan yang tidak dimaklumkan, tidak dipersetujui dan tidak selari dengan prinsip menghormati adat serta perlembagaan negeri,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, BN Negeri Sembilan berpandangan isu berkaitan adat, institusi dan pentadbiran Negeri Sembilan sewajarnya ditangani dengan penuh kefahaman terhadap konteks negeri ini.
Sehubungan itu, adalah wajar ruang penjelasan utama diberikan kepada pimpinan dan wakil rakyat Negeri Sembilan yang lebih memahami kedudukan adat, perlembagaan dan sensitiviti setempat.
Tegas kenyataan itu, BN Negeri Sembilan menjunjung kasih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, menghormati institusi Raja-Raja Melayu, mempertahankan institusi adat Negeri Sembilan dan berpegang kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Segala langkah selepas ini hendaklah dibuat mengikut lunas perlembagaan, undang-undang negeri dan tertib institusi,” kata kenyataan itu.
BN Negeri Sembilan seterusnya menyeru semua pihak, termasuk PH supaya tidak meremehkan krisis ini dengan menyempitkannya kepada naratif ‘tebuk atap’ atau perebutan kuasa semata-mata.
“Rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat penjelasan yang jujur tentang bagaimana krisis ini berlaku, mengapa Exco UMNO BN tidak dimaklumkan dan bagaimana keyakinan terhadap pentadbiran negeri boleh dipulihkan.
“Pendirian UMNO BN jelas. Ini bukan tebuk atap. Ini adalah krisis keyakinan terhadap Menteri Besar akibat kegagalan mengurus isu adat dan perlembagaan secara tertib.
“UMNO BN tidak campur urusan adat. Tetapi UMNO BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap tindakan eksekutif yang dilihat mencampuri ruang adat dan menjejaskan kestabilan negeri,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB


