LABU – Seorang kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dimasyhurkan sebagai Buapak Waris Biduanda Klang dalam satu majlis penuh adat yang berlangsung di Telapak Waris Biduanda Klang, Kampung Batu 9 Labu, pagi tadi.
Majlis Pemasyhuran Buapak Waris Biduanda Klang, Luak Sungei Ujong itu menyaksikan Abdul Ghafar Mahadi, 36, dilantik sebagai Buapak baharu bagi meneruskan kepimpinan dalam jurai perut Minot di bawah naungan Yang Mulia Dato’ Seri Amar Menteri.
Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Pengurusan Islam) dengan kepujian dan pelantikannya dibuat secara muafakat bagi mengisi kekosongan kepimpinan selaras dengan prinsip hierarki serta permuafakatan dalam Adat Perpatih.
Majlis berlangsung penuh tertib mengikut adat, dimulakan dengan istiadat pembukaan oleh Ibu Soko sebagai pemegang autoriti adat.
Upacara itu bukan sahaja menandakan permulaan rasmi majlis, malah memperlihatkan peranan penting wanita sebagai penjaga kesinambungan waris dalam struktur Adat Perpatih.
Acara kemudian diteruskan dengan penyerahan surat pelantikan oleh Ibu Soko kepada Buapak yang dilantik sebagai tanda pengiktirafan rasmi.
Yang Mulia Dato’ Seri Amar Menteri dalam ucapannya menekankan kepentingan amanah, tanggungjawab serta integriti dalam memimpin anak buah.
Kemuncak majlis ialah istiadat anak buah menghadap Buapak, yang membawa makna simbolik sebagai tanda pengiktirafan, ketaatan dan kesetiaan kepada kepimpinan baharu dalam lingkungan adat.
Majlis turut dihadiri barisan kepimpinan adat serta tokoh masyarakat, antaranya Yang Mulia Dato’ Seri Amar Menteri Jamaludin Ahmad, Yang Mulia Dato’ Seri Amar Diraja Haji Syed Abdullah Syed Ab. Hamid dan Yang Mulia Dato’ Menteri Penghulu Naguib Abdul Samad, selain beberapa Buapak waris serta pemimpin setempat.
Majlis berkenaan berlangsung lancar dan penuh istiadat, sekali gus memperkukuh kesinambungan Waris Biduanda serta menzahirkan keutuhan Adat Perpatih sebagai sistem sosial yang terus relevan dalam masyarakat Negeri Sembilan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Muzium Negeri Sembilan
