KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menyifatkan kecaman pelbagai pihak terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung cadangan sistem penternakan babi moden tertutup di Selangor sebagai tidak wajar dan mencerminkan salah faham terhadap peranan wakil rakyat.
Menurut beliau, gesaan supaya Siew Ki meninggalkan negeri itu serta cadangan menggantung beliau daripada sidang dewan sehingga 12 bulan adalah tindakan keterlaluan.
“Tiada kesalahan untuk Siew Ki membangkitkan isu tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam. Cadangan seperti ini sepatutnya dialu-alukan dan dibahaskan secara terbuka bagi mencari alternatif terbaik, bukannya terus dikecam,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramkarpal yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP menegaskan bahawa sebarang cadangan berkaitan dasar awam perlu dibincangkan secara rasional dan matang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan memanggil wakil rakyat untuk dikenakan tindakan disiplin hanya kerana mengemukakan cadangan boleh mewujudkan preseden berbahaya yang menyekat kebebasan bersuara, khususnya dalam perkara berkepentingan awam.
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa Sultan Selangor sebelum ini telah menyuarakan pandangan agar penternakan babi dihentikan di negeri berkenaan atas faktor kesan alam sekitar dan komposisi demografi negeri.
Namun, katanya, cadangan Siew Ki tidak seharusnya dilihat sebagai tidak menghormati pandangan tersebut, sebaliknya sebagai usaha menawarkan penyelesaian alternatif secara konstruktif.
“Dalam keadaan ini, Siew Ki hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat. Mengecam beliau atas perkara itu adalah tidak perlu dan amat dikesali,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial
Ramkarpal Singh


