KUALA LUMPUR – Tindakan Jawatankuasa Etika dan Tatatertib AFC mengenakan denda AS$7,000 (RM27,700) terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tujuh pemain menerima kad kuning dalam aksi suku akhir ACLE 2025/26 di Arab Saudi mengundang kritikan netizen.
Penyokong bola sepak tempatan mempersoalkan kewajaran hukuman tersebut, malah ada yang mengaitkannya dengan insiden kekasaran melibatkan pemain Al-Ahli, Ali Majrashi terhadap penyerang JDT, Jairo da Silva, yang didakwa tidak diberi perhatian sewajarnya.
Seorang pengguna media sosial, Nor Faiz Samih, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu dan menyifatkan tindakan mengenakan denda sebagai tidak masuk akal, terutama apabila pemain bertindak balas terhadap situasi yang dianggap tidak adil.
“Pemain-pemain marah kerana benda yang tak betul pun kena saman. Sekarang zaman macam ni, buat contoh kalau nyawanya tak panjang, JDT pula saman AFC boleh tak? Ada akal tak peraturan AFC ni? Entahlah, dunia,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan Zulkifli Kamaruddin yang mendakwa pengadil memihak kepada Al-Ahli sepanjang perlawanan. Beliau turut mempersoalkan beberapa keputusan, termasuk insiden dalam kotak penalti dan kekasaran yang didakwa tidak dihukum setimpal.
“Pengadil nampak berat sebelah kepada Al-Ahli. Insiden foul dalam kotak penalti—pemain Al-Ahli pegang muka, tetapi video menunjukkan tangan pemain JDT jauh dari muka.
“Pemain JDT pula kena sepak di muka, tetapi pasukan perubatan ambil masa terlalu lama untuk bertindak. JDT tak sepatutnya berdiam diri. Bersuara di dalam dan di luar padang.
“Pemain Al-Ahli mengganggu dan menekan referee sepanjang perlawanan, dan pemain JDT patut buat perkara yang sama.
Sekurang-kurangnya JDT patut seri perlawanan itu,” luahnya dalam nada kesal.
Sementara itu, Acad Saje yang mengakui dirinya penyokong Selangor turut menyuarakan rasa kurang senang terhadap layanan pasukan perubatan, yang didakwa lambat memberi bantuan kepada pemain JDT yang cedera.
Anuar Dtk Andi pula menegaskan kelewatan dalam situasi kecemasan tidak sepatutnya berlaku, sambil mempersoalkan rasional denda yang dikenakan ke atas JDT.
“AFC ni bila orang dah mati baru nak sedar. Sebab medic lambat bertindak. Kecemasan tak boleh lambat, tak perlu arahan, terus masuk sahaja. Pelik, tiba-tiba kena denda pula. Apa undang-undang macam ni?,” katanya.
Dalam nada sinis, Fara Juliana Jalil turut mempersoalkan sama ada tindakan kapten JDT mengambil pengusung menjadi punca denda tersebut, menyifatkan hukuman itu sebagai berlebihan.
“Denda sebab kapten JDT rampas pengusung medic ke? Booo… sikit-sikit denda, tapi puas hati tengok,” katanya. – MYNEWSHUB


